mk-logo
Berita
Kes projek uCustom: SPRM perlu siasat juga menteri, pegawai k'jaan - MP
Diterbitkan:  Oct 3, 2021 4:02 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pegawai dan menteri-menteri yang terlibat dalam meluluskan siri pembayaran RM272.99 juta untuk sistem uCustoms yang gagal disiapkan.

Merujuk berita penangkapan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat yang dikaitkan dengan uCustoms, kata Lim, pegawai tinggi kerajaan dan menteri yang terlibat dalam kelulusan pembayaran kepada syarikat itu harus digantung sementara siasatan dilakukan.

“(Isu ini melibatkan) Lebih daripada sekadar seorang CEO, memandangkan satu sindiket tak akan dapat beroperasi tanpa bantuan pegawai tinggi kerajaan, bahkan menteri-menteri yang meluluskan siri bayaran sejak 2013.

“Orang-orang ini juga haruslah disiasat, dan jika mereka masih dalam perkhidmatan, mereka harus digantung sementara Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan SPRM menyiasat kes berkenaan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan penahanan CEO berusia 56 tahun berkenaan malam tadi, selepas dia hadir ke ibu pejabat SPRM untuk membantu siasatan.

SPRM menjalankan siasatan selepas isu sistem uCustoms bernilai RM397.43 juta itu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) kerana gagal disiapkan sejak projek itu bermula pada Oktober 2013.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata siasatan menjurus kepada perlakuan rasuah dan salah guna kuasa.

LKAN 2019 Siri 2 mendedahkan sistem uCustoms oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) gagal disiapkan dalam tempoh 86 bulan walaupun lima lanjutan tempoh masa (EOT) diberikan.

Menurut laporan audit itu, sejumlah RM272.99 juta telah dibayar kepada pembekal dan Pejabat Pengurusan Projek manakala hanya satu Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM55,660 telah dikenakan.

Lim menyoal sekiranya pembayaran kepada syarikat itu dibuat secara telus dan bertanggungjawab.

“Ia perkara yang serius bagaimana satu jumlah sebesar RM272.99 juta boleh dibayar kepada pembekal dan pejabat pengurusan projek, apabila projeknya gagal disiapkan dalam 86 bulan dengan lima lanjutan masa yang diberikan.

“Ini bukan hanya menunjukkan ketikdakcekapan syarikat, tetapi juga agensi pemantau dan menteri-menteri yang memantau projek itu,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS