Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Berbanding menteri, laporan pencapaian 100 hari Ismail lebih penting'
Diterbitkan:  Oct 3, 2021 3:53 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Selain jemaah menteri, Ismail Sabri Yaakob juga perlu membentangkan laporan pencapaian 100 hari sebagai perdana menteri, menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.

Lim mengulas kenyataan Ismail ketika wawancara khas bahawa setiap menteri akan membentangkan pencapaian mereka sepanjang 100 hari memegang portfolio masing-masing.

“Ismail Sabri patut sedar, yang lebih penting berbanding kad pencapaian 100 hari menteri kabinet gergasinya itu (31 menteri dan 38 timbalan menteri), adalah kad pencapaian 100 hari dia sendiri selaku perdana menteri kesembilan,” kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Kata veteran DAP itu, Ismail juga berkata persepsi rakyat terhadap prestasi menteri dalam 100 hari perkhidmatan mereka - termasuk di media sosial - akan digunakan untuk mengukur skor pencapaian mereka.

Persepsi rakyat itu, menurut Ismail, antaranya boleh diperolehi melalui tinjauan profesional.

“Adakah ini juga akan terpakai untuk ‘kad pencapaian’nya selaku perdana menteri Malaysia kesembilan?” soal Lim lagi.

Ismail mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 21 Ogos, bermakna 29 November ini merupakan 100 hari dia mentadbir negara.

Oleh hal yang demikian, Lim mencadangkan agar Ismail juga wajar membentangkan laporan pencapaian 100 harinya dan menteri lain di Parlimen untuk dibahaskan.

Lim berkata prestasi Ismail harus dinilai berdasarkan beberapa isu.

Antara lain, kejayaan memerangi wabak Covid-19 dengan menurunkan kes harian baru ke dua angka dan kematian harian ke satu angka; kejayaan melaksanakan perjanjian persefahaman (MOU) yang ditandatangani bersama pemimpin PH bagi menangani Covid-19 serta melakukan pembaharuan institusi parlimen.

Penilaian lain yang digariskan Lim adalah tumpuan memerangi korupsi dan kleptokrasi; pelan konkrit untuk mengakhiri penyalahgunaan dan penyimpangan Dasar Ekonomi Baru; membatalkan syarat 51 peratus pemilikan bumiputera untuk syarikat penghantaran fret; dan jaminan bahawa tiada undang-undang atau pendekatan baru yang akan menyalahi kebebasan beragama di Malaysia.

Dalam wawancara yang disiarkan Mingguan Malaysia hari ini, Ismail berkata tujuan dia menetapkan tempoh 100 hari adalah supaya menteri dapat menunjukkan prestasi baik berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan, bukannya untuk membuang mereka.

Katanya, penilaian prestasi menteri akan dibuat secara menyeluruh termasuk di laman sosial dan penerimaan rakyat terhadap mereka, dan rakyat juga akan dilibatkan dalam pemarkahan menteri.

“Ada orang kata, adakah menteri yang nak kena buang lagi? Saya harap tak ada siapa yang akan diambil tindakan sebab saya nak mereka ‘perform’. Itu tujuan saya.

“[...] Memang saya ada buat pemarkahan, macam sekolah­, ada ‘report card’ (kad laporan), setiap menteri ada kad laporan dan salah satu yang akan beri markah, (adalah) saya. Kita ada jawatankuasa, ada juga pemarkahan daripada rakyat, rakyat boleh berikan pemarkahan, ada beberapa peratus, Tapi maknanya pandangan rakyat akan menjadi salah satu (penilaian),” kata Ismail seperti dipetik.

Ismail mengumumkan sasaran 100 hari pentadbirannya sebaik selepas menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri pada 21 Ogos lalu.

Menurut Mingguan Malaysia, keputusan penilaian dijangka akan diumumkan pada 10 Disember.

Mengulas mengenai penerimaan rakyat terhadap kepemimpinannya selepas 41 hari mentadbir kerajaan menggantikan Muhyiddin Yassin, Ismail berkata dia belum membuat kajian akan hal itu kerana masih “terlalu awal”.

“Kadang-kadang ada orang yang suka pada peringkat awal, lama-lama jadi tidak suka. Setengah itu, peringkat awal dia tak sayang lagi, tetapi makin lama dia kenal, dia suka kita.

“Jadi sebab itu dalam masa lima, enam bulan atau tiga bulan selepas 100 hari, mungkin banyak ucapan, mungkin beri lebih banyak lagi kepada rakyat dan sebagainya," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS