Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH gesa wujudkan pusat kelulusan akreditasi tunggal TVET
Diterbitkan:  Oct 3, 2021 10:37 AM
Dikemaskini: 2:37 AM

PH menggesa agar kerajaan mewujudkan pusat akreditasi tunggal bagi mengawal selia pusat Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), yang antara lain dapat mengelakkan pembaziran dana negara.

Dalam kenyataan semalam, Jawatankuasa TVET PH berkata ekosistem TVET yang ada di Malaysia pada masa ini tidak cukup lengkap untuk memenuhi keperluan para graduan seperti yang diharapkan.

"Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2 telah mengesahkan kerunsingan kita selama ini, bahawa ekosistem TVET negara lemah dalam memenuhi keperluan anak muda.

"Laporan tersebut menggesa pengenalan pusat kelulusan akreditasi tunggal bagi mengawal selia kesemua institusi TVET negara - yang kini berada di bawah sekurang-kurangnya enam kementerian," kata jawatankuasa itu.

Antara masalah asas melibatkan institusi TVET, menurut jawatankuasa itu, adalah tiada kawalan kualiti kurikulum dan kekurangan mekanisme pantauan terhadap tenaga pengajar.

Menurut mereka lagi, Laporan Ketua Audit Negara 2019 menunjukkan kekurangan koordinasi menyebabkan pengambilan pelajar TVET lebih rendah, daripada 139,699 pada 2016 kepada hanya 99,589 pada 2020.

Jumlah graduan TVET yang dihasilkan sejak 2016 hingga 2020 adalah 474,672, yang menurut jawatankuasa itu, jauh lebih sedikit berbanding sasaran 900,000 untuk 2020.

"RMK11 telah menggunapakai sebanyak RM 29.689 bilion dan dibelanjakan menerusi enam agensi utama iaitu Kementerian Pendidikan; Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Pengajian Tinggi; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Pertanian dan Industri serta Kementerian Kerja Raya.

"Kita tidak mahu dana negara dibelanjakan tanpa impak yang jelas buat rakyat.

"Sudah tiba masanya memusatkan hanya satu entiti tunggal bagi mengawal kesemua institusi TVET," kata jawatankuasa itu lagi.

Jawatankuasa itu juga menggesa kerajaan menerusi RMK12 untuk memastikan agenda pemerkasaan TVET dilengkapkan dengan pengenalan undang-undang yang mampu mengawal kualiti beserta kuasa dan akauntabiliti untuk memastikan segala yang disasar mampu dicapai secara efisyen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS