Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MySejahtera kini ada fungsi lapor pelanggaran SOP
Diterbitkan:  Oct 2, 2021 10:22 PM
â‹…
Dikemaskini: 2:22 PM

Warga prihatin kini boleh melaporkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 kepada pihak berkuasa melalui aplikasi MySejahtera.

Kementerian Kesihatan memperkenalkan fungsi baru pada aplikasi itu yang membolehkan pengguna mengajukan aduan mereka kepada pihak berwajib dalam beberapa langkah mudah.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkongsi perkara itu melalui ciapan Twitter awal hari ini, yang disertai klip video pendek menunjukkan cara aduan dibuat,

Dalam versi bahasa Melayu MySejahtera, akan ada butang baru 'Aduan', yang akan membawa pengguna ke halaman lain untuk mereka memilih jenis pelanggaran yang ingin mereka laporkan.

Ia menyenaraikan empat pilihan: pelanggaran SOP untuk individu (tidak memakai topeng muka atau mematuhi jarak fizikal); pelanggaran oleh pengendali premis (kegagalan merekod pelawat atau memeriksa suhu badan); pelanggaran perintah kuarantin; dan isu lain.

Pengguna kemudian diminta menanda lokasi tempat pelanggaran yang didakwa terjadi, sebelum memuat naik foto sebagai bukti.

Menurut Khairy, dia telah memerintahkan pembangun aplikasi untuk mengemas kini MySejahtera lebih lanjut.

 

"Saya telah meminta pembangun aplikasi MySejahtera untuk membuat sedikit kemas kini tetapi ciri itu sudah tersedia," katanya.

Khairy berkongsi klip video tutorial itu sebagai respons kepada pertanyaan netizen, yang bertanya sama ada terdapat platform dalam talian untuk orang ramai boleh membuat laporan terhadap premis yang gagal mematuhi SOP Covid-19.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menggesa orang ramai untuk menggunakan kemudahan baru itu.

"Jika anda menyaksikan ada yang tak mematuhi SOP, sila laporkan aduan anda di MySejahtera," katanya, mengulang ciap kenyataan Khairy.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS