Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyifatkan kerajaan yang ada sekarang sebagai memiliki perangai "terkutuk" apabila menyalurkan peruntukan berbelas juta ringgit kepada sekolah persendirian Cina.
Pengerusi Pembela Aminuddin Yahaya berkata suatu masa dulu ada pemimpin dalam kerajaan sekarang melaung-laungkan ikrar mahu mengharamkan pertubuhan pendesak Cina, Dong Zong.
"Alih-alih apabila sudah jadi kerajaan, salurkan peruntukan RM15 begitu saja.
"Memang mengarut kerajaan hari ini. Terkutuk betul perangai," katanya di Twitter.
Aminuddin turut melampirkan ciapan itu dengan laporan kenyataan dibuatnya berkenaan isu tersebut.
Semalam Malaysiakini melaporkan Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.
Hal itu didedahkan Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim kepada Malaysiakini dan disahkan Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon.
"Pada 23 Sept, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa peruntukan RM15 juta akan disediakan untuk 63 sekolah persendirian Cina," kata Tan.
Semasa menjadi pembangkang beberapa pemimpin Umno dan PAS lantang mengkritik Dong Zong malah ada antara mereka menyarankan kerajaan - ketika itu diterajui Pakatan Harapan - agar mengharamkan pertubuhan berkenaan.
Antara yang menonjol mengkritik pertubuhan tersebut ialah Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu menjadi ketua pembangkang.
Apa diratib penyokong kerajaan
Memetik kenyataan naib presiden Umno itu UmnoOnline melaporkan Ismail Sabri memberi peringatan kepada Dong Zong agar tidak menjadi "pelampau Cina" yang akhirnya membakar kemarahan orang Melayu Islam.
Ahli parlimen Bera itu juga mencabar kerajaan PH supaya mengharamkan Dong Zong.
Dalam kenyataan dibuat Aminuddin semalam, dia berkata, ketika ini ada puluhan kerusi yang diwakili ahli politik yang mendakwa mereka memperjuangkan Islam dan Melayu dalam kerajaan.
Bagaimanapun katanya mereka tidak mampu menekankan kehendak masing-masing seperti yang terlihat dalam pengurusan isu judi berlesen dan kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Muhammad Adib Mohd Kassim.
"Saya tidak pastilah apa justifikasi atau ratiban penyokong kerajaan selepas ini.
"Sudahlah UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) diiktiraf di pelbagai ruang, kini (diberi) peruntukan RM15 juta pula. Semakin mengarutlah kerajaan hari ini," katanya.