Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Majikan patut bela waris korban Covid-19 jika dijangkiti semasa kerja
Diterbitkan:  Oct 2, 2021 1:52 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan memastikan setiap majikan di negara ini bertanggungjawab terhadap kematian pekerja masing-masing jika mereka dijangkiti Covid-19 ketika bertugas.

Tindakan itu, katanya, bagi membolehkan kebajikan keluarga mangsa mendapat pembelaan yang setimpal serta diberikan pampasan sepatutnya.

"Wajar ada suatu ketetapan berhubung tanggungjawab majikan terhadap kematian pekerja akibat diijangkiti Covid-19 semasa bertugas.

"Ini termasuklah dalam urusan pengebumian, pampasan sehinggalah kepada kebajikan ahli keluarga mereka," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Tambah ahli parlimen Bagan Datuk itu lagi, gesaan tersebut tidak sepatutnya dianggai sebagai tekanan kepada pihak majikan sebaliknya bersandarkan kepada faktor kebertanggungjawaban dan kemanusiaan.

Langkah itu juga kata Ahmad Zahid bagi memastikan setiap majikan lebih serius dan bersungguh-sungguh memastikan keselamatan pekerja mereka pada setiap masa.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kematian dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Johor yang menghembus nafas terakhir akibat positif Covid-19 pada tahun ini.

Katanya, kedua-dua anggota berusia 55 tahun itu dijangkiti Covid-19 ketika melakukan tugasan operasi dan maut ketika menjalankan tanggungjawab kepada negara.

Jelasnya nasib ahli keluarga dua anggota itu pasti mendapat pembelaan sawajarnya berbanding sektor swasta.

"Sesungguhnya ini adalah pengorbanan yang nyata kepada tanah air. Saya percaya ahli keluarga para mangsa sedang mendapat pembelaan yang sewajarnya oleh kerajaan.

"Bagaimana pula dengan pekerja sektor bukan kerajaan yang terkorban akibat dijangkiti Covid-19 semasa diarahkan bertugas oleh majikan?

"Adakah ahli keluarga mereka akan turut mendapat pembelaan yang sewajarnya?" katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS