Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semua latihan kemahiran kini dikendali Kementerian Sumber Manusia

Kerajaan menetapkan semua latihan peningkatan kemahiran dan kepelbagaian kemahiran diletakkan di bawah Human Resource Development Corporation (HRD Corp) milik Kementerian Sumber Manusia.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah tersebut diambil bagi membolehkan penyelarasan dibuat kerana sebelum ini ada beberapa kementerian melaksanakan latihan seperti itu sehingga menyebabkan berlaku pertindihan.

“Kerajaan setuju (latihan) akan diletakkan bawah satu kementerian untuk diselaraskan sebab ada enam kementerian menjalankan kursus. Kadang-kadang yang untung syarikat yang berikan kursus.

"Sekarang ini kalau kita tengok kursus semua kementerian buat tapi akhirnya kursus yang sama,” katanya semasa wawancara khas bersama editor kanan media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ismail Sabri berkata latihan yang dijalankan perlulah memberi fokus berdasarkan keadaan sesuatu kawasan, seperti di Pengerang, Johor kepada minyak dan gas manakala Pulau Langkawi kepada sektor pelancongan.

“Jangan kursus benda-benda lain yang tidak sesuai. Kita sekarang ini nak menyelaraskan - kalau boleh - tidak terlampau banyak. Duit yang digunakan untuk kursus (banyak), outcome (hasil) tak ada.

“Satu orang ada 10 sijil di rumah, di dinding tapi dia macam tu sahaja. Sebab itu, sekarang kalau kita lihat untuk B40, kita fokus kepada memberikan latihan sebagainya,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata soal penyelarasan juga akan dibuat dalam pemantauan bantuan kepada rakyat.

“Yang ini melibatkan banyak (pihak) … majlis agama, JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Mindef (Kementerian Pertahanan) pun ada, banyak yang terlibat.

“Akhirnya kita akan selaras. Sekarang tengah tengok perkara ni. Begitu juga dengan perumahan ada bawah PPR (Program Perumahan Rakyat), ada juga bawah Mindef untuk baik pulih rumah bawah skim Jiwa Murni.

“KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), (kerajaan) negeri pun ada bagi. Itu semua kita akan selaraskan supaya tiada pertindihan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS