Paling Popular
Terkini

PULASAN | Atas nama maruah negara, barangkali kita harus berjiwa besar untuk sekali ini.

Kita harus bersatu hati dengan mempertahankan kewajaran negara membelanjakan sejumlah wang bagi membaik pulih, menaik taraf dan memperindah Seri Perdana.

Lagi pun kos yang dikhaskan untuk projek tersebut tidaklah sebanyak mana, hanya RM38.5 juta saja. Ia jauh lebih rendah dan murah berbanding perbelanjaan yang digunakan untuk skim Bantuan Khas Covid-19 (BKC) sebanyak RM4.6 bilion.

Cuma itulah, BKC tersebut diperuntukkan kepada 11 juta isi rumah, warga emas dan orang bujang, manakala RM38.5 juta itu untuk beberapa ahli keluarga sebuah rumah, dan kontraktor yang terpilihlah.

Ketika hampir semua orang berdebat itu dan ini, barangkali kita terleka untuk melihat isu Seri Perdana itu dari sisi, iaitu dari dalam rumah itu sendiri.

Bayangkan, kediaman itu mula dibina pada 1997 dan siap sepenuhnya dua tahun kemudian. Berdasarkan tahun semasa Seri Perdana itu sudah berusia 22 tahun.

Untuk anda memahami situasi ini, lihat kepada rumah anda. Jika binaan itu sudah berusia 22 tahun atau lebih, bagaimana keadaannya? Dan jangan lupa rumah kita ini kebanyakannya diurus oleh kita sendiri berbanding Seri Perdana yang dikelola oleh para petugas khas bergaji. Semuanya dibayar dari kantung kerajaan.

Bertahan hingga tak terkawal

Pada waktu ia diluluskan, kos pembinaannya di atas tapak seluas 42.5 ekar itu ialah RM24.17. Renungkan sejenak: dengan kos dan ketelitian yang sepatutnya, adakah memang wajar bangunan segah itu boleh mengalami kerosakan seperti yang digambarkan hasil pelaburan sebanyak RM24.17 juta?

Adakah masalah ketirisan atap hanya berlaku selepas 22 tahun, atau ia sebenarnya wujud sebelum bumbung Seri Perdana dipasang lagi?

Maka kita wajib faham kalau Seri Perdana itu mengalami rosak yang banyak dan merata-rata sedangkan rumah kita hanya usang dan uzur di sana sini saja.

Lagi pun kalau ada liang-liang rongga pada bahagian atap, biasanya kita akan bertahan untuk sementara sehinggalah keadaan menjadi tidak terkawal. Untuk sementara kita akan menampalnya dengan silikon saja, misalnya.

Maklumlah, ekonomi sedang parah dan negara masih bergelut dengan Covid-19.

Kita juga diberitahu bahawa antara alasan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mencadangkan agar kerja-kerja baik pulih itu dijalankan adalah berpunca daripada tindakan "perdana menteri keenam" yang didakwa "perdana menteri kelapan" membawa keluar pelbagai perabot serta candelier yang ada.

Berkenaan hal itu sudahpun diberi penjelasan oleh "perdana menteri keenam" kelmarin.

Seperti biasa, beliau memang tidak menunggu lama untuk memberi reaksi kepada kenyataan "perdana menteri kelapan" itu. Memang sudah menjadi 'cap dagangan' khusus untuk dia tangkas bersilat di media sosial.

Itu bukan perkara utama yang perlu difikirkan. Persoalan menarik mengenainya ialah: bayangkan berapa nilai candelier yang dibawa keluar - dan disimpan di dalam gudang - itu semasa ia dibeli dulu, di manakah ia dibeli, serta berapa upah untuk memasangnya?

Berbelanja untuk ekonomi negara

Tidak kurang menariknya, kita perlu renungkan dengan hati yang jernih - dan jerih - berapa nilai candelier baru yang akan, sedang atau sudah dipasang di Seri Perdana ketika ini? Bagaimana pula reka bentuk dan kehalusan seninya?

Lantaklah, usah peduli sama ada perdana menteri kelapan itu sempat tinggal di Seri Perdana atau tidak kerana ia tidak pun ditanya sesiapa. Cuma kalau dia tak bercadang mahu tinggal di situ, mengapakah JKR dan JPM memberikan cadangan, saranan (dan sasaran) untuk melaksanakan projek membaik pulih serta menaik taraf sehingga lebih RM38 juta?

Tetapi kita juga faham bahawa untuk merangsang ekonomi, perbelanjaan perlu dibuat. Takkan rakyat saja perlu berbelanja, kan? Kerajaan juga perlu mengeluarkan kontrak, dan membaik pulih Seri Perdana adalah salah satu daripada caranya.

Dengan sikit renungan dan bayangan - dan mungkin juga bersama khayalan - kita akan faham mengapa RM38.5 juta yang diperuntukkan bagi memulihara Seri Perdana.

Dan kita juga perlu menyedari dan berasimilasi dengan budaya yang sudah mendarah daging dalam hidup bernegara, iaitu amalan mengipas, mengampu, mendongkrak dan sehingga ke tahap mengumpil perasaan orang kenamaan.

Bukankah Seri Perdana itu tempatnya orang yang sangat penting?

Di situ bercokolnya seorang perdana menteri yang bukan saja menguruskan negara, tetapi juga mengarahkan pentadbiran, ekonomi dan kontrak-kontrak negara. Di situ juga tersimpan 'kunci pendua' untuk peluang-peluang perniagaan dan kerusi politik demi masa depan anak cucu.

Lebih daripada itu apa yang dilakukan ke atas Seri Perdana itu menggunakan dana yang asalnya daripada kita. Kadang-kadang wang tersebut keluar dari kantung majikan dan disalurkan ke perbendaharaan negara tanpa sempat singgah pun di akaun kita.

Semuanya rakyat perlu korbankan khusus untuk ahli-ahli politik berseronok ke sana-sini dan apabila berasa berahi, melompat ke mana-mana saja yang mereka suka dengan melacurkan nama kita.

Maka, mari kita bersatu hati demi membela maruah Seri Perdana.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang kini menetap di rumah yang dibelinya secara berhutang 20 tahun lalu.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS