Pemimpin Amanah dan DAP mendakwa Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan logo rasmi gabungan itu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Bagaimanapun, kenyataan daripada PKR - yang menjadi salah satu parti komponen PH - membayangkan keputusan muktamad atau rasmi mengenainya belum dibuat.
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, dan Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kayat, memberitahu Majlis Presiden PH sudah membuat keputusan mengenai perkara itu pada 23 Ogos lalu.
Hal itu ditegaskan sekali lagi hari ini oleh Ketua Pemuda PH Howard Lee yang berkata isu tersebut dibincangkan dengan panjang lebar dalam pemukiman pimpinan pusat PH di Port Dickson April lalu.
Kenyataan itu turut disokong Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.
"(Keputusan dibuat) Majlis Presiden PH dalam satu retreat pada April di Port Dickson. Resolusi itu antaranya memang kami bersetuju untuk menggunakan logo PH dalam PRU akan datang.
"Kalau ikut retreat itu (yang) saya hadiri, itulah keputusannya," katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, Pengerusi PH Anwar Ibrahim - yang juga presiden PKR - belum membuat kenyataan tegas berhubung penggunaan logo terbabit.
Dalam sesi perbincangan webinar Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) pada 3 Sept lalu Anwar berkata PH kini di peringkat akhir perbincangan berhubung cadangan logo tunggal yang bakal digunakan pada PRU ke-15.
Kata Anwar, dia berpendapat penggunaan logo tunggal terutama parti komponen PH amat ideal bagi memudahkan rakyat membuat pilihan, sekali gus mengelakkan kekeliruan.
“Dalam sedikit masa lagi, pihak PKR, DAP dan Amanah akan duduk bersama bagi memutuskan perkara ini. Seelok-eloknya kita menggunakan satu logo sahaja.
“Dulu dalam PRU 2018, parti gabungan PH (dan sekutu) guna lambang PKR kerana pada waktu itu logo PH belum lagi didaftarkan,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar pada 16 Sept lalu pula menyatakan isu logo yang akan digunakan PH dalam PRU akan datang perlu diselesaikan secara rundingan kerana ada pihak dalam PKR yang mencadangkan mereka menggunakan logo parti berkenaan.
Menurut Lee, keputusan PH mengenai hal itu jelas dan tegas iaitu logo gabungan itu akan digunakan, dan kenyataan Anwar telah membuktikannya.
Tambahnya, PKR diberi waktu untuk menjelaskan hal ini kepada akar umbi mereka, seperti yang diminta oleh Anwar.
Namun, katanya ia tidak dijelaskan sehingga masih ada yang menolaknya.
Sementara itu, Setiausaha Pemuda PKR, Syukri Razab dalam satu kenyataan menyifatkan kenyataan Lee sebagai dangkal dan terburu-buru kerana mendahului Majlis Presiden PH yang belum membuat apa-apa keputusan mengenainya.
"Selaku individu yang menjunjung semangat konsensus dalam PH, Lee sepatutnya lebih menghormati proses membuat keputusan sebelum mengeluarkan respon pramatang.
"Lee perlu bersikap terbuka dengan pendirian akar umbi PKR yang tegas mahukan logo parti dipilih sebagai logo PH dalam PRU ke-15," katanya.
Tambah Syukri, dia turut mengharapkan agar Majlis Presiden PH membuat keputusan berhubung isu logo berdasarkan fakta dan data.
Katanya, satu kajian lapangan oleh agensi bebas perlu dijalankan terlebih dahulu.