Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM lulus penggunaan vaksin Sinovac ke atas remaja
Diterbitkan:  Oct 1, 2021 12:43 PM
Dikemaskini: 4:48 AM

Penggunaan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd., China dan Pharmaniaga Lifesciences Sdn Bhd kepada golongan remaja berumur 12 tahun dan ke atas dibenarkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau memaklumkan kelulusan bersyarat itu dipersetujui dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-364 yang bersidang hari ini.

"Bagaimanapun, PBKD menyarankan penggunaan Sinovac dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada remaja tanpa komorbiditi dan yang mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima vaksin Comirnaty.

"Ini merupakan vaksin Covid-19 kedua yang diluluskan untuk penggunaan bagi golongan remaja selepas kelulusan sama diberikan kepada vaksin Comirnaty, keluaran Pfizer BioNTech pada Jun lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penilaian bagi penggunaan Sinovac dalam kalangan remaja dengan komorbiditi akan diteruskan sebaik sahaja data yang dikemukakan mencukupi.

Dr Noor Hisham berkata vaksin jenama itu sebelum ini mendapat kelulusan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas.

Ketua Pengarah itu menyatakan kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin itu dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS