Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kedai kopi mempunyai kedudukan yang unik dalam masyarakat di negara ini. Pada suatu ketika dulu kedai kopi menjadi seakan-akan 'parlimen kampung' kerana di situlah orang ramai berbincang - dan membahaskan - pelbagai isu.

Kini muncul pula kedai-kedai hipster yang menyajikan kopi - serta minuman lain - sebagai tempat berkumpul, berdiskusi, atau sekadar berbual-bual kosong.

Di Kelantan seiring dengan peredaran zaman, masyarakat setempat semakin terdedah dengan konsep hidangan kopi yang lebih pelbagai dan moden.

Hal ini diakui oleh pengelola Sekolah Kopi, Mohd Faizul Ab Fatah, 41, yang berpendapat masyarakat sekarang sama ada generasi baru atau lama sudah pandai menikmati kopi "secara intelektual".

"Kalau dulu orang minum kopi hitam kampung tu ada yang kata pahit dan ada juga yang kata manis, tetapi sekarang, penikmat kopi sudah menikmati kopi secara intelektual.

"Dalam kata lain, mereka mampu menilai kopi yang mereka minum itu adalah kopi murah atau pun kopi mahal," katanya ketika ditemui Malaysiakini dalam program Gig Kopi sempena ambang hari kopi sedunia di Kotak Seni, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.

Kualiti tempatan, luar dah sama

Menurut Mohd Faizul, penerimaan terhadap industri kopi tempatan dalam kalangan masyarakat Kelantan menunjukkan peningkatan yang luar biasa.

"Kita di Kota Bharu saja sekarang sudah ada kurang lebih 60 buah kedai kopi yang beroperasi.

"Peningkatan itu saya boleh katakan sangat drastik berbanding pada 2015 lalu apabila hanya ada satu atau dua buah kedai kopi sahaja. Itu pun dalam keadaan hidup segan mati tak mahu," katanya.

Tambah Mohd Faizul, industri kopi tempatan mampu menyaingi syarikat-syarikat kopi besar kerana penikmat-penikmat kopi sudah pandai menilai serta menerima produk tempatan yang rata-rata mempunyai kualiti yang sama dengan kopi komersial.

"Saya rasa dari segi persaingan tidak menjadi masalah kerana penikmat kopi kita sudah pandai menilai kopi buatan komersial dan juga tempatan mengikut keselesaan tekak serta 'poket' mereka.

"Dari segi kualiti kopi buatan tempatan, saya yakin kualiti kopi kita sudah setaraf dengan kopi syarikat nama-nama besar yang lain.

"Dari segi harga pula, kopi tempatan tidaklah terlalu murah sangat dan tidak juga terlalu mahal. Maksudnya, masyarakat setempat kita masih lagi mampu untuk beli kopi kegemaran mereka dengan harga yang berpatutan," katanya.

Pengaruh faktor modal

Tambah Mohd Faizul di Kelantan perkembangan industri kopi tempatan ketika ini begitu rancak. Jika diandaikan, katanya, ia seperti kecepatan pecutan kuda berbanding kelajuan kucing suatu ketika dulu.

Ditanya berkenaan kelebihan yang ada pada syarikat kopi besar tetapi tidak ada pada pengusaha kopi tempatan, Faizul menjawab: faktor modal.

Katanya kekurangan dari segi modal menyebabkan perkembangan pengusaha kopi tempatan sedikit terkebelakang.

"Ini kerana kebanyakan mereka yang mula bergiat dalam industri kopi ini beroperasi secara persendirian yang memerlukan proses mengumpul modal sebelum dilaburkan untuk membuka kafe.

"Kalau syarikat kopi komersial mereka tak ada masalah kerana sudah ada penaja dan pelabur tersendiri," terangnya.

Pelanggan semua peringkat usia

Sementara itu, Gig Kopi itu diadakan menjelang sambutan hari kopi sedunia pada 1 Okt dan dianjurkan oleh komuniti Facebook Sekolah Kopi Kelantan.

Selain untuk memperingati hari kopi sedunia, ia juga bertujuan untuk memberi pendedahan serta berkongsi pengalaman antara pengusaha kopi di seluruh Kelantan mengenai perusahaan masing-masing.

Justeru, para pengunjung diberi peluang untuk cuba menyediakan sendiri hidangan kopi mengikut versi masing-masing selain dapat mendalami proses-proses penyediaan kopi yang betul.

Program tersebut diadakan di sebuah galeri seni lukis iaitu Kotak Seni di Kota Bharu. Ada sebab mengapa lokasi tersebut yang dipilih. Antaranya kerana ada kaitan di antara seni lukis dan seni menyiapkan kopi yang kedua-duanya memerlukan kemahiran yang tinggi.

Pemilik galeri Kotak Seni, Nik Mohd Izwan Bin Nik Annuar

Sementara itu pengusaha kedai Jabatan Kopi, Wan Azli Wan Ahmad, 40, berkata jualannya sangat terjejas semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Sukar mendapat keuntungan, katanya, operasi Jabatan Kopi hanya balik modal saja.

"Tidak ada pembeli ketika itu, tetapi selepas banyak kelonggaran diberikan kerajaan, saya seperti kembali bernyawa semula," katanya.

Pemilik Kedai Roti dan Kopi di Pasir Puteh, Azizul Hakim Mohamed Asri dan Nik Ahmad Rusydan Nik Ideris, 23, mereka tidak mengalami kesan yang teruk akibat PKP kerana baru sahaja mula berniaga ketika banyak kelonggaran telah diberikan kerajaan.

"Kami baru sahaja mula buka kedai sebulan lalu. Tambahan pula semasa kedai mula beroperasi, kelonggaran telah pun banyak diberikan.

"Setakat ini, alhamdulilah jualan kami semakin membaik dan ramai pelanggan yang datang tidak kira peringkat umur datang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS