Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DBKL tangguh kuat kuasa larangan jual minuman keras hingga 31 Okt
Diterbitkan:  Sep 30, 2021 9:05 PM
Dikemaskini: 1:05 PM

Larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina sekitar ibu negara yang dijadualkan berkuat kuasa esok, ditangguhkan sebulan lagi hingga 31 Okt.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penangguhan penguatkuasaan larangan itu bertujuan untuk memuktamadkan kajian berkaitan kawalan penjualan minuman keras di Kuala Lumpur.

“Kemudahan akses minuman keras telah menjadi aduan dan bantahan kerana mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan orang ramai,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan pada masa ini, pemilik Lesen Minuman Keras (LMK) runcit masih dibenarkan menjual minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina hingga 31 Okt ini.

DBKL sebelum ini mengeluarkan Garis Panduan LMK, yang telah diguna pakai berkuat kuasa 15 Nov 2020, yang mana garis panduan itu antara lain menyatakan bermula 1 Okt 2021 (esok) penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina tidak dibenarkan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS