PARLIMEN l Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berpendapat bahawa projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur - Johor Bahru perlu disambung ke arah utara menuju hingga ke Thailand.
Cadangan itu dibuat selepas kerajaan pusat sebelum ini yang di bawah teraju Muhyiddin menamatkan perjanjian HSR dengan Singapura pada awal tahun ini.
"Saya menyokong pelan kerajaan berhubung pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) ke Johor Bahru.
"Malahan juga ke utara untuk disambung dengan HSR dari Bangkok ke sempadan Malaysia-Thailand dengan pembiayaan swasta yang melibatkan konsortium kewangan dalam negara," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Cadangan Muhyiddin (PN-Pagoh) muncul hari ini selepas dua hari lalu, seorang lagi bekas perdana menteri Najib Razak (BN-Pekan) mencadangkan kerajaan meneruskan semula projek HSR ke Singapura.
Muhyiddin menambah bahawa HSR ke Thailand akan memberi kesan ekonomi yang besar, dan menghasilkan pulangan nilai yang berbilion-bilion.
Ini termasuk mewujudkan peluang pekerjaan, perniagaan, dan malah mewujudkan bandar-bandar di sepanjang laluan HSR.
Idea HSR antara Malaysia dan Thailand bukanlah perkara baru.
Cadangan itu pertama kali diutarakan pada tahun 2016 oleh Najib dan perdana menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha. Walau bagaimanapun, sejak itu tiada perkembangan besar mengenai cadangan tersebut.
Cadangan itu dibuat setelah Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian untuk membina HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapura.
Namun, setelah beberapa kali ditangguh, perjanjian dengan Singapura ditamatkan pada 1 Januari tahun ini.
Ini mengakibatkan Malaysia terpaksa membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura.