Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Umno saran hukum rakyat tak keluar mengundi
Diterbitkan:  Sep 30, 2021 3:20 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

PARLIMEN l Seorang ahli parlimen Umno hari ini mencadangkan bagi menjadikan pengundian sebagai wajib, dengan semua pihak yang gagal membuang undi dikenakan hukuman.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata, pengundian hanya dilakukan lima tahun sekali, dan oleh itu tidak ada alasan untuk tidak menunaikan tanggungjawab itu.

“(Setiap) lima tahun sekali tak pergi mengundi, apa ke benda ni? Bukan sebulan sekali.

“Pada PRU (pilihan raya umum) ke-14 (hanya) 82.32 peratus (keluar mengundi). (Apakah) 2.7 juta (pengundi lain) tidur ke apa ke tak keluar mengundi walaupun lima tahun sekali,” soalnya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, bahawa pilihan raya kecil juga cenderung menyaksikan peratusan jumlah keluar mengundi yang rendah, dengan tiga pilihan raya kecil selepas tahun 2018 melihat kurang dari 50 peratusan yang keluar mengundi.

Ahmad berkata, 22 negara mewajibkan rakyatnya keluar mengundi, termasuk di Thailand, Singapura, Australia, Belgium, dan beberapa negara di Amerika Selatan.

Mengenai hukuman buat mereka yang tidak keluar mengundi pada hari pilihan raya, setiausaha agung Umno itu mempunyai beberapa idea.

“Mereka yang tak keluar ini kita kenakan denda. Contoh (denda mereka) RM100, RM200... atau contoh (mereka) tak boleh memperbaharui lesen memandu,” katanya.

Mujahid Yusof Rawa (Pakatan Harapan-Parit Buntar) kemudian tampil dan menyokong Ahmad, tetapi tidak diberi ruang untuk mencelah.

Cadangan untuk mewajibkan pengundian hangat diperkatakan susulan pendaftaran pemilih automatik tidak lama lagi.

Walaupun bertujuan untuk mendaftarkan individu berusia 18 tahun ke atas, pendaftaran automatik kemungkinan akan menyaksikan semua individu dewasa Malaysia menjadi pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan semakan pra-pendaftaran pemilih automatik) mulai 1 hingga 31 Oktober ini dan mereka yang berumur 18 tahun ke atas diminta untuk tampil bagi menyemak dan mengesahkan rekod mereka.

Tempoh Parlimen sekarang dijangka berakhir pada tahun 2023.

Walau bagaimanapun, pilihan raya boleh diadakan seawal bulan Ogos tahun depan.

Kedua-dua pihak Putrajaya dan PH bersetuju supaya Parlimen tidak dibubarkan sebelum 31 Julai 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS