Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PGA rampas 70 biji pil kuda yang disorok bawah rumah

Taktik licik dua lelaki yang menyembunyikan pil kuda bawah rumah terbongkar setelah diserbu Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Kuantan di sebuah rumah di Gual Sitok, Rantau Panjang, Kelantan, awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah PGA7, Azhari Nusi berkata, sekitar jam 1 pagi tadi, pihaknya menyerbu rumah itu dan menjumpai dua lelaki berada di bahagian dapur.

"Kami telah menahan dua suspek berumur 16 dan 28 tahun berkenaan dan dalam masa yang sama kami juga menjumpai empat botol air ketum dengan anggaran 5.75 liter di atas lantai bahagian dapur rumah.

"Hasil soal siasat ke atas suspek terbabit, telah membawa pihak kami kepada penemuan sebanyak 70 biji pil kuda bawah sebuah rumah (kayu kampung) berdekatan rumah pertama," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Azhari, pihaknya menahan dan merampas semua barang kes bernilai RM740 sebelum dibawa ke bahagian siasatan jenayah dadah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, ujian air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek telah mendapati positif methamphetamine.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS