KES PINDA AUDIT 1MDB | Bekas ketua setiausaha sulit Najib Razak, Shukry Mohd Salleh mendakwa bekas perdana menteri itu mengarahkannya agar memberitahu Jabatan Audit Negara (JAN) untuk tidak menyebut berkenaan Low Taek Jho dan isu sensitif lain dalam laporan audit 1MDB.
Shukry yang menjadi saksi pendakwaan kesebelas berkata demikian dalam ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes pinda laporan audit 1MDB hari ini.
Dia berkata Najib memberi arahan itu kepadanya dalam satu pertemuan pada 26 Februari 2016.
Najib memberi arahan itu agar pihak pembangkang ketika itu tidak boleh menggunakan isu tersebut dalam kritikan mereka, dakwanya.
"Pada 26 Februari 2016, saya jumpa Najib di pejabatnya an Najib arahkan saya, lebih kurang, (kata) macam ini, 'Shukry, anda beritahu audit agar isu sensitif dan tak relevan seperti Jho Low dalam 1MDB tak dimasukkan dalam laporan'.
"'Jika pembangkang dapat tahu perkara ini, ia boleh jadi isu'," katanya ketika membaca pernyataan saksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Shukry juga mendakwa dia kemudian menghubungi bekas pengarah JAN ketika itu, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad untuk menyampaikan arahan Najib.
Najib dituduh menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan terhadap laporan audit akhir 1MDB sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, untuk mengelakkan tindakan terhadapnya.
Tertuduh bersama Arul Kanda Kandasamy, iaitu bekas CEO 1MDB, didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan menyatakan keputusan untuk meminda laporan itu dibuat dalam mesyuarat di pejabat ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa pada 24 Februari 2016.
Ia didakwa dibuat untuk mengarahkan bahagian tertentu laporan audit 1MDB diubah atau dipadam, termasuk isu kehadiran Jho Low dalam mesyuarat lembaga pengarah.
Selain Ali dan Arul Kanda, antara yang hadir dalam mesyuarat itu adalah bekas ketua audit negara Ambrin Buang, shukry dan wakil Jabatan Peguam Negara ketika itu, Dzulkifli Ahmad.
Ketika perbicaraan di depan hakim Mohamed Zaini Mazlan pagi ini, Shukry dalam keterangannya berkata sejak awal Februari 2016, Najib telah mengarahkannya untuk mendapatkan laporan audit daripada JAN dan memeriksanya sebelum dicetak.
"Ini kerana dia (Najib) bimbang hal mengarut (nonsense) mungkin ditulis dalam laporan," dakwanya.
Katanya, dia kemudian menghubungi Ambrin untuk menyampaikan arahan Najib, tetapi bekas ketua audit negara itu keberatan untuk menyerahkannya kerana laporan perlu dicetak segera untuk diserahkan kepada Jawatankuas Kira-kira Wang Negara (PAC).
Katanya lagi, dia kemudian memaklumkan perkara itu kepada Najib dan Najib kemudian berkata laporan audit 1MDB perlu diperiksa untuk melihat apa yang dilaporkan oleh ketua audit negara di dalamnya.
Dia kemudian menyampaikan perkara itu kembali kepada Ambrin, katanya lagi.
Shukry berkata, pada 20 Februari tahun yang sama, dia kemudian menerima salinan laporan audit 1MDB dari Saadatul Nafisah.
Selepas melihatnya sepintas lalu, katanya lagi, dia memberitahu Najib yang dia telah meminta Arul Kanda untuk menelitinya dan Najib bersetuju dengan langkah itu.
Dia kemudian mendakwa menyerahkan laporan kepada Arul Kanda, di mana Arul Kanda didakwa antaranya berkata ada bahagian yang perlu dipinda.
Dia berkata telah mencadangkan kepada Arul Kanda agar membincangkannya secara lanjut dengan Ambrin.
Shukry berkata pada 22 Februari 2016, dia menerima arahan daripada Najib untuk menghubungi Ali dan Ambrin untuk bertemu dengannya bagi membincangkan laporan tersebut.
Bagaimanapun, dia berkata tidak tahu sangat tentang apa yang dibincangkan kerana sering meninggalkan mesyuarat untuk menjalankan tugas lain.
Ketika mesyuarat pada 24 Februari tahun itu, kata Shukry, dia membangkitkan isu dua penyata kewangan 1MDB untuk tahun 2014 yang bercanggah, dan berkata ia boleh memberi kesan besar terhadap keyakinan pihak luar terhadap Malaysia.
"Ini kerana jika syarikat besar bawah kerajaan seperti 1MDB dimanipulasi, ia boleh membawa implikasi terhadap sentimen pelabur," dakwa Shukry tentang apa yang diperkatakannya dalam pertemuan itu.
Laporan polis
Shukry dalam keterangannya berkata lagi, Ali kemudian mengarahkan pegawai bernama Mohmad Isa Hussain untuk membuat laporan polis berhubung dua versi penyata kewangan itu, dan susulan mesyuarat itu, Ambrin setuju untuk membuang isu tersebut daripada laporan audit.
Katanya lagi, dia juga membangkitkan isu penangguhan Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN, yang dikeluarkan oleh Terengganu Investment Authority sebelum ia diletakkan di bawah kerajaan persekutuan dengan nama 1MDB).
Katanya, penangguhan itu berlaku sebaik selepas Najib mengadap Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
"Najib tidak memaklumkan perkara itu kepada kabinet walaupun mesyuarat kabinet diadakan pada hari sama, selepas Najib mengadap Agong.
"Bagi saya, perkataan yang digunakan dalam laporan menunjukkan Najib seolah-olah menyembunyikan sesuatu. Pada masa itu, saya hanya membangkitkan persoalan sama ada Najib 'bertanggungjawab' (duty bound) di bawah undang-undang dan peraturan untuk memaklumkannya kepada kabinet.
"Mesyuarat setuju untuk tidak memasukkan isu itu setelah menerima pandangan Dzulkifli," katanya lagi.
Selepas Shukry selesai membaca pernyataan saksinya, mahkamah memainkan rakaman mesyuarat 24 Februari 2016 dengan durasi lebih dua jam.
Ia bertujuan untuk proses kenal pasti oleh Shukry.
Perbicaraan bersambung tengah hari ini.
Kemudian selepas rehat tengah hari, selepas rakaman itu selesai dimainkan, Shukry mengesahkan suaranya di bahagian-bahagian tertentu.
Ketika pemeriksaan utama dengan timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib, dia juga mengesahkan hadir ke mesyuarat itu atas kapasitinya sebagai ketua setiausaha sulit Najib.
Perbicaraan akan bersambung semula pada 20 dan 21 Oktober ini.