Akmal Nasir (PH-Johor Bahru) menggesa supaya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican supaya membuat pindaan kepada Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) bagi mengawal dan melindungi pembeli skim rumah mampu milik.
Ini kerana menurut Ketua Pemuda PKR (AMK) itu, ramai pembeli rumah mampu milik yang kebanyakannya di kalangan pasangan muda terpaksa berdepan dengan rumah yang terbengkalai dan lewat siap.
“Saya ingin ingatkan kerajaan supaya jangan jadikan skim rumah mampu milik satu ‘scam’ ataupun penipuan kepada rakyat kerana yang akan menjadi mangsa ini adalah keluarga-keluarga muda.
“Kenapa saya kata scam? Pertama, rumah yang lewat, sakit, terbengkalai ini kebanyakannya terdiri daripada rumah-rumah mampu milik. Jadi saya mohon menteri KPKT bekalkan data tersebut,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Dia turut memberi contoh rumah mampu milik Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di bawah projek kerajaan persekutuan yang diilhamkan sewaktu pentadbiran Najib Razak.
Antara yang mengalami kelewatan dan terbengkalai menurutnya di Tebrau, Johor; Melaka Tengah, Melaka; dan Port Dickson, Negeri Sembilan.
Katanya, apabila masalah sedemikian berlaku, para pembeli tidak mempunyai kuasa untuk mendesak kerana dakwanya kerajaan atau undang-undang sedia ada ketika ini dilihat seperti memihak kepada pemaju perumahan.
Dia memberi contoh terdapat pembeli yang walaupun mereka layak mendapat moratorium daripada bank sewaktu pandemik Covid-19, tetapi terpaksa membayar faedah kerana rumah yang terbengkalai atau mengalami kelewatan, apabila Akta 829 diguna pakai.
Tambahnya, ada juga yang terpaksa membayar rumah sewa disebabkan kelewatan tersebut.
“Kalau tidak diuruskan isu rumah mampu milik, ini bukan kes setahun, dua tahun dan lima tahun, saya ada jumpa kes yang 10 tahun terpaksa menanggung beban yang rumahnya terbengkalai.
“Jadi saya mengusulkan kepada menteri yang baru ini (Reezal) sebab menteri yang lama (Zuraida Kamaruddin) mungkin tak boleh pakai.
“Jadi saya harapkan menteri KPKT yang baru ini untuk membuat pindaan kepada Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1996 ataupun lebih baik mengemukakan satu akta baru untuk mengawal dan melindungi para pembeli rumah mampu milik,” katanya.