Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bersatu tak tutup rundingan dengan Umno tapi sedia sebarang kemungkinan'
Diterbitkan:  Sep 29, 2021 6:55 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

Bersatu tidak pernah menutup pintu rundingan dengan Umno untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15, kata Naib Presiden Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen.

Namun katanya, parti itu tetap akan bersedia jika jalan rundingan bukanlah jalan pilihan Umno - seperti yang telah banyak kali ditegaskan kepemimpinan tertinggi parti itu yang enggan kerjasama itu berlarutan melewati PRU15.

“Bersatu tidak pernah tutup pintu untuk berunding dengan mana-mana parti yang bersama-sama membentuk kerajaan persekutuan pada hari ini termasuk Umno bagi menghadapi PRU15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Namun begitu, Bersatu melalui parti Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin (Yassin) akan terus bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk jika Umno memuktamadkan tidak mahu berunding dengan Bersatu dan PN menjelang PRU15 nanti,” jelasnya.

Untuk rekod, selepas PRU14, Bersatu yang merupakan parti serpihan Umno menjadi komponen kerajaan persekutuan PH, dengan Bersatu memegang 15 daripada 54 kerusi yang dimenangi atas tiket Umno menerusi ahli-ahli parlimen yang melompat parti.

Bersatu dan Umno kemudiannya berganding bahu menyingkirkan PH Februari tahun lalu, dalam gabungan PN - yang dianggotai Bersatu, PAS, dan Star selain disokong Umno-BN, PBS dan ahli parlimen bebas.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sejak awal kerjasama di bawah PN lagi, konsisten menyatakan bahawa hubungan kerjasama dengan Bersatu hanya akan bertahan sehingga PRU15 sahaja.

Namun, hubungan dua parti itu tegang sejak awal kerjasama ekoran pelbagai isu dan ketidakpuasan hati, antaranya apa yang didakwa sebagai layanan anak tiri oleh Bersatu kepada Umno dalam PN.

Kemuncaknya, perdana menteri PN, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu terpaksa melepaskan jawatan selepas 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya, menyebabkan dia hanya mempunyai 100 sokongan ahli parlimen, kurang 11 untuk mencapai majoriti.

Terdapat 220 ahli parlimen di Dewan Rakyat dengan dua kerusi kosong.

Kini, kerajaan persekutuan diketuai Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri, manakala Bersatu pula menjadi komponen kerajaan persekutuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS