Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lembah Klang, Melaka beralih ke fasa 3 mulai 1 Oktober - PM
Diterbitkan:  Sep 29, 2021 6:54 PM
Dikemaskini: 11:35 AM

Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang bermesyuarat hari ini bersetuju untuk membenarkan peralihan negeri-negeri di Lembah Klang (Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor) daripada fasa 2 kepada fasa 3 mulai 1 Oktober ini.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang juga pengerusi jawatankuasa khas berkenaan, dalam satu kenyataan turut memaklumkan bahawa Melaka juga akan beralih daripada fasa 2 kepada fasa 3 manakala Kedah daripada fasa 1 kepada fasa 2.

“Peralihan fasa ini dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Berdasarkan keputusan jawatankuasa yang membenarkan peralihan dari fasa 1 ke fasa 2 bagi negeri Kedah, ia bermakna tiada lagi negeri berada di fasa 1 di seluruh negara,” katanya.

Negeri-negeri fasa 2 sekarang adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Johor dan Sabah.

Negeri-negeri dan wilayah fasa 3 pula terdiri daripada Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, l Melaka, Perlis, Pahang, Terengganu dan Sarawak.

Hanya Negeri Sembilan dan Labuan berada di fasa 4.

Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri yang memasuki fasa 2, 3 dan 4 adalah sama dengan sebelum ini.

"Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang www.mkn.gov.my,” katanya.

Serentak dengan peralihan itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik juga membuat ketetapan untuk membuat beberapa kelonggaran.

“Majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuklah perasmian dan bengkel, dibenarkan di negeri fasa 2 dan fasa 3, dengan syarat tetamu telah menerima vaksinasi lengkap dan kapasiti 50 peratus ruang premis, manakala 100 peratus kapasiti penuh bagi fasa 4.

“Bagi individu yang belum divaksin, perlu menjalani preevent test menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir dengan disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan,” katanya.

Ismail Sabri juga mengumumkan pembukaan sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, TVET dan sebagainya di semua fasa dengan mematuhi SOP selaras dengan pembukaan institut pengajian tinggi (IPT) berkuatkuasa 15 Oktober 2021.

“Membenarkan kehadiran penonton/penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri fasa 2, fasa 3, dan fasa 4.

“Kehadiran ini meliputi sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi dengan syarat, penonton dan penyokong telah menerima vaksinasi lengkap, memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung.

Ismai Sabri berkata, walaupun kerajaan memberikan kelonggaran, namun dia berharap agar rakyat dapat terus patuh kepada SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

“Negara kini sedang menuju ke fasa endemik di mana kita akan terus hidup bersama Covid-19 dalam kehidupan norma baru.

“Kerjasama Keluarga Malaysia amat diharapkan agar terus mengamalkan kawalan kendiri, jaga kebersihan demi keselamatan diri,” katanya.

Bagi pergerakan rentas negeri, Ismail Sabri berkata kerajaan akan membenarkannya apabila kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai 90 peratus, seperti yang diumumkan beliau pada 22 Sept lalu.

Kerajaan juga akan mempertimbangkan lebih banyak sektor ekonomi untuk kembali beroperasi seperti biasa bagi membolehkan rakyat meneruskan kehidupan dengan lebih baik setelah ia ditutup sejak sekian lama, katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS