Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RMK12: Selangor mohon lebih banyak sekolah dibina di bandar

Kerajaan Negeri Selangor memohon Kerajaan Persekutuan supaya meningkatkan bilangan sekolah di bandar terutamanya yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

“Kita berharap kemudahan asas sekolah ini diteliti kerana jumlah pelajar bagi setiap kelas di kawasan bandar terutamanya amat membimbangkan dan lebih daripada kadar yang disarankan, kadang-kadang lebih 50 orang sekelas,” katanya kepada media selepas Majlis Serahan Sumbangan Kumpulan Semesta Sdn Bhd kepada Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman berkenaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Isnin lepas.

Katanya keadaan demikian sedikit sebanyak memberi kesan kepada kondisi pembelajaran pelajar malah situasi pandemik yang dihadapi ketika ini juga menunjukkan bahawa sistem ventilasi di dalam kelas adalah perkara yang amat penting.

Beliau berkata banyak tapak sekolah sudah disediakan dan diserahkan kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan dan pihaknya berharap pembinaan sekolah dapat dilakukan dengan segera memandangkan terdapat permintaan yang tinggi.

“Saya ambil contoh di Elmina penduduknya dianggar berjumlah 50,000 orang dan ada lima tapak sekolah di sana namun tiada satu sekolah pun yang dibina dan mereka terpaksa bersekolah di Subang Bestari.

Ini sedikit sebanyak menyebabkan kesesakan dan kualiti pembelajaran di setiap kelas terjejas...saya harap perkara ini dapat disegerakan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS