Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) berjaya merampas 2.4 metrik tan beras dan 277 kilogram (kg) hidupan liar yang melibatkan daging lapah (karkas) babi dan musang dalam dua serbuan berbeza petang semalam.
Pegawai Pemerintah PGA 7, Azhari Nusi berkata, dalam serbuan pertama sekitar jam 4.30 petang, pihaknya telah melancarkan serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di kampung Limau Purut, Rantau Panjang hasil pemerhatian sebelum ini.
"Semasa serbuan dijalankan, pihak kami mandapati rumah tersebut berada dalam keadaan tidak berpenghuni dan kami menemui sebuah stor tidak berkunci di sebelah rumah berkenaan.
"Hasil pemerikasaan lanjut ke atas stor tersebut, kami menjumpai 2.4 metrik tan beras pelbagai jenis dan jenama yang dipercayai diseludup dari negara jiran melalui pangkalan haram berdekatan.
"Kesemua beras yang bernilai RM 11,000 dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Agensi Selia Padi dan Beras Negara, Kota Bharu untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di Markas Tektikal PGA, Lubok Setol, Rantau Panjang.
Sementara itu, serbuan kedua pula dilakukan sekitar jam 4 petang semalam setelah pihaknya mendapati sebuah kenderaan jenis Iswara berwana gelap dalam keadaan mencurigakan di Bukit Bunga, Tanah Merah.
Menurut Azhari, pihaknya menjumpai sebanyak 250 kg karkas babi yang diletakkan di bahagian bonet belakang manakala 27 kg karkas musang pula di bahagian tempat pemijak kaki kenderaan berkenaan setelah berjaya menahannya.
"Kesemua karkas binatang berserta kenderaan yang bernilai RM 13,000 telah dirampas dan diserahkan kepasa pegawai penyiasat Jabatan Perhilitan, Kota Bharu untuk siasatan lanjut," katanya.
Jelasnya, seorang lelaki yang juga pemandu kenderaan terbabit juga ditahan setelah gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.
"Siasatan lanjut ke atas serbuan pertama dijalankan di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia dan Beras Negara 1994 manakala bagi serbuan kedua, kes disiasat di bawah Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya lagi.