PARLIMEN | Jumlah individu yang kehilangan pekerjaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan antara persoalan yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, perkara itu terkandung dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan yang akan diajukan Su Keong Siong (PH-Kampar) kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
Su turut bertanya mengenai langkah kerajaan dalam membantu golongan yang hilang pekerjaan, terutamanya sektor pelancongan, hotel dan industri makanan dan minuman (F&B) untuk mendapat kembali pekerjaan masing-masing.
Dalam sesi sama, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) meminta Menteri Kewangan menyatakan status terkini program i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dilaksanakan pada Julai 2021.
Selain itu, Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan mengenai status pengedaran 150,000 unit komputer riba yang diluluskan dalam Belanjawan 2021, terutamanya di Sabah.
Beliau juga bertanyakan sama ada kementerian akan menambah lagi pengedaran komputer riba bagi memudahkan pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Persidangan Parlimen kemudian disusuli sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang masuk hari kedua, hari ini.
Semalam, seramai 17 ahli parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan RMK12 selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Isnin.
Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt ini.
- Bernama