Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kayu buruk bertukar jadi arca, perabot unik di tangan guru pondok

Perkara yang lazimnya berada di benak pemikiran kebanyakan orang apabila melihat kayu-kayan buruk yang biasanya ditemui terbiar di tepi jalan atau di kawasan tapak projek yang diratakan adalah objek yang tidak bernilai.

Namun bagi seorang guru pondok, Ilias Abdullah, 58, setiap kayu lama yang ditemuinya diubah menjadi karya arca dan perabot perhiasan rumah.

Hasilnya, kayu buruk yang disangka tidak berguna tersebut bertukar menjadi objek yang nilainya berlipat kali ganda.

"Semua perabot dan arca yang ada di rumah saya ini adalah daripada kayu buruk yang terbuang oleh masyarakat sekitar dan saya tak pernah beli pun.

"Ada juga saya ambil dari tempat pembakaran sampah, apabila ditanya untuk buat apa, saya jawab ia sebagai permainan sahaja untuk isi masa luang," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Lalang, Tanah Merah, Kelantan.

Ilias yang juga seorang pengamal perubatan Islam berkata, ramai tetamu yang datang berubat bertanyakan harga hasil tangannya itu dengan tujuan untuk membeli tetapi dia tidak bersedia untuk menjualnya lagi.

"Ramai orang datang tanya berapa harga sebab mereka nak beli tapi kita cakap tak jual. Malah ada diantara mereka menawarkan dengan harga yang tinggi.

"Niat kita buat perabot dan arca ini sebagai hobi sahaja dan saya nak jadikan hasil tangan saya ini sebagai kenangan kepada anak-anak.

"Apabila kita tiada nanti, mereka tengok hasil tangan yang kita tinggalkan, mereka akan ingat pada kita dan sedekah Al -Fatihah serta berdoa kepada kita yang berada di alam sana. Itulah tujuan kita yang paling besarnya," katanya.

Selain itu Ilias berkata, minat terhadap mengukir arca ini dipupuk sejak 20 tahun lalu setelah diperkenalkan oleh seorang kawan.

"Sebelum ini saya tidak pernah pun meminati kegiatan mengukir arca ini tetapi setelah diperkenalkan oleh seorang kawan dan ditunjukkan pula hasil kerjanya, saya terus tertarik.

"Dari segi kemahiran pun, saya tidaklah memasuki kelas khusus mengukir arca secara formal tetapi dengan hanya memerhati proses pengukiran yang di tunjukkan oleh kawan sahaja.

"Apabila pulang ke rumah kita cuba sendiri dan lama-kelamaan hasil yang kita buat jadi semakin baik dan cantik," katanya.

Tambahnya, setiap arca dan perabot yang dihasilkan mempunyai bentuk menyerupai sesuatu objek dalam pelbagai bentuk.

"Setiap arca yang saya hasilkan mempunyai iras-iras rupa bentuk tersendiri, contohnya ada yang berbentuk keris, kasut, tugu pahlawan dan binatang.

"Bagaimanapun, sekiranya arca tersebut jelas menyerupai makhluk hidup seperti kepala binatang, saya akan ubah kembali supaya tidak kelihatan lagi.

"Ini kerana, ianya dilarang dalam Islam sekiranya menyimpan patung bende hidup di dalam ataupun halaman rumah," terangnya.

Malaysiakini difahamkan terdapat lebih 50 arca berupa perabot dan perhiasan pelbagai bentuk yang berasaskan kayu telah dihasilkan dan berdasarkan penilaian ahli seni, keseluruhan arca yang ada mencecah RM30,000.

Di samping itu, menurut Ilias, jenis kayu yang sesuai untuk penghasilan sesebuah arca dan perabot adalah tembesu dan akasia kerana ia terkenal mempunyai ira kayu yang cantik serta ketahanan yang tinggi.

Justeru katanya, di sebalik kecantikan arca yang telah berjaya dia hasilkan, ia juga menjadi satu peringatan kepadanya tentang kebesaran tuhan selaku pencipta asal sumber kayu tersebut.

"Kayu-kayan ini anugerah Allah kepada kita, cantiknya Allah buat itu menyebabkan kita tidak berasa mahu buang walaupun buruk, sebaliknya boleh lagi hasilkan sesuatu yang bermanfaat darinya.

"Bila kita tengok hasil yang kita buat ini cantik, kita ingat kepada pencipta asal," ulasnya lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS