Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Menteri akan bincang pembukaan semula sempadan negara
Diterbitkan:  Sep 27, 2021 7:05 PM
Dikemaskini: 11:06 AM

Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah mempertimbang isu pembukaan semula sempadan Malaysia, menurut pengerusinya Muhyiddin Yassin.

Menjawab soalan pemberita, Muhyiddin berkata dia telah membangkitkan perkara itu kepada menteri berkaitan hari ini, yang membayangkan perbincangan lanjut akan dibuat pada minggu ini.

"Soal isu pembukaan sempadan, saya bangkitkan tadi dan ada respons.

"Ia sedang diperhalusi oleh menteri-menteri terlibat (dan) akan dibincang minggu ini juga untuk menentukan apakah kewajaran agar semapan dibuka, untuk membolehkan orang kita ke luar negara," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurut Muhyiddin, keputusan berkenaan perkara itu akan membawa kesan besar kepada pemulihan negara, antaranya dengan kemasukan pelancong, pekerja dan pelabur luar negara.

Dia juga mengulang semula kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini bahawa perjalanan rentas negeri akan dibenarkan selepas kadar vaksinasi melepasi 90 peratus.

"Kalau (melihat apa) yang dimaklumkan tadi, kemungkinan pada Oktober, sama ada awal atau selewat-lewatnya pertengahan Oktober.

"Jadi saudara boleh pergi 'merayau' seluruh Malaysia, tapi ingat (untuk patuh) SOP," katanya lagi.

Cadangan Majlis Pemulihan Negeri

Sementara itu, Muhyiddin mengumumkan mesyuarat hari ini setuju untuk menubuhkan Majlis Pemulihan Negeri yang akan berperanan melaksanakan keputusan yang dibuat oleh MPN.

Dia berkata majlis itu akan dipengerusikan menteri besar atau ketua menteri.

Dengan penubuhan majlis itu, katanya lagi, Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah sedia ada akan menjadi "mekanisme pelaksanaan dan pemantauan inisiatif pemulihan negara di peringkat daerah".

"Cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri dan mekanisme yang berkaitan akan dikemukakan kepada perdana menteri dan jemaah menteri untuk pertimbangan dan persetujuan.

Antara perkara lain yang dibincangkan adalah persediaan pembukaan semula sekolah dan institusi pengajian tinggi, katanya lagi.

Terdahulu hari ini, Muhyiddin pertama kali mempengerusikan mesyuarat MPN selepas dilantik menduduki jawatan itu, tidak lama selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS