Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tiada kertas siasatan dibuka berhubung dakwaan dana TH dicuri setakat ini'

PARLIMEN | Setakat ini tiada sebarang kertas siasatan dibuka berhubung dakwaan kecurian dana Lembaga Tabung Haji, menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.

“Setakat ini tiada sebarang kertas siasatan dibuka ke atas mana-mana pihak atas tuduhan mencuri wang Tabung Haji termasuklah yang YB Baling sering kedengaran,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dia menjawab soalan tambahan daripada bekas pengerusi TH Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling - BN) berhubung dakwaan tersebut.

“Saya pohon YB timbalan menteri buat pengesahan adakah terdapat sebarang kertas siasatan dibuka bagi sebarang tuduhan melibatkan kecurian wang di Tabung Haji yang dilakukan oleh pengurusan tertinggi atau lembaga pengarah sebelum tahun 2018.

“Hal ini amat penting untuk pendeposit Tabung Haji yang ingin tahu ada atau tidak kecurian berlaku kerana terlalu banyak tohmahan pencuri penyamun perompak TH sebelum ni sehingga seramai 520,000 pendeposit telah menutup akaun TH,” soalnya.

Sementara itu, Marzuk berkata bagi mengekalkan keyakinan pelabur dan pendeposit, kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) seperti yang diumumkan kerajaan pada Julai lalu.

“(Ia) antara justifikasi kenapa kerajaan hari ni bersetuju nak adakan RCI dan penambahbaikan,” katanya.

Pada 14 Julai lalu, Ismail Sabri Yaakob yang merupakan timbalan perdana menteri ketika itu mengumumkan RCI akan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan ke atas Tabung Haji.

RCI tersebut ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) untuk menyiasat isu-isu yang berkaitan badan itu.

Ini berikutan audit yang dilakukan oleh perunding seperti PricewaterhouseCoopers, Ernst & Young dan Roland Berger antara tahun 2014 dan 2020.

Semalam, Marzuk berkata terma dan syarat RCI tersebut - yang akan menyiasat isu-isu berbangkit dari tahun 2014 hingga 2020 - akan diumumkan dalam masa terdekat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS