Idea inovasi Maryam Muzamir berusia 11 tahun yang menukar cengkerang makanan laut menjadi makanan haiwan ternakan mendapat sorotan rancangan bual bicara The Late Late Show with James Corden terbitan stesen CBS di AS.
Maryam bulan lalu menang tiga anugerah di International Invention Innovation Competition (Ican) di Toronto, Kanada kerana menukar sisa buangan kulit udang dan cengkerang siput laut menjadi makanan ternakan.
Episod tertentu daripada rancangan bual bicara terbitan stesen CBS itu, yang disiarkan pada 23 September, memfokuskan pada isu perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar.
"Izinkan saya memberitahu anda, anda mungkin pernah mendengar mengenai gadis ini, sungguh luar biasa - Maryam Muzamir. Dia seorang gadis berusia 11 tahun di Malaysia.
"Dia mendapati sisa makanan biasa - kerang makanan laut - dapat berguna dan dia menukar cengkerang itu menjadi makanan haiwan ternakan baru yang sihat," kata hos rancangan itu, Corden.
Klip rancangan itu juga telah disiarkan di akaun Twitter rasminya.
Maryam, seorang murid Tahun 5 dari SK (P) Methodist Kuantan, memulakan usaha untuk menggunakan cengkerang dan kulit makanan laut setelah membaca artikel yang ia mengandungi kitin, sebatian yang bermanfaat untuk kesihatan ternakan.
Dia menang pingat emas di Ican 2021 serta Anugerah Khas Kanada dan Anugerah Pencipta Muda Terbaik.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan syabas dan tahniah kepada Maryam atas kejayaannya mengharumkan nama negara.
Perdana menteri turut berdoa agar Maryam terus menempa lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.