Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pihak kuil sedia kosongkan tapak masjid di Tampin

Pihak pengurusan kuil Hindu yang didakwa menceroboh tanah sebuah masjid di Taman Indah, Tampin, Negeri Sembilan berkata mereka sedia mengosongkan kawasan terbabit.

Pengerusi Kuil Sri Murugan Alayam, M Partiban, bagaimanapun pada masa sama menggesa kerajaan negeri agar segera mewartakan tapak kuil yang ada sekarang.

Katanya keputusan memindahkan kuil tersebut dibuat selepas mereka mengadakan pertemuan dengan dua Exco Negeri Sembilan, S Veerapan dan J Arul Kumar semalam.

"Kami kesal kerana terlanjur membina kuil di tapak masjid dan ia dibuat secara tidak sengaja," katanya kepada Malaysiakini.

Ahli jawatankuasa surau di Taman Indah Baru, Tampin, sebelum ini dilaporkan menghantar memorandum kepada wakil rakyat Veerapan yang juga Adun Repah Repah bagi membantah pembesaran kuil di atas tapak yang dicadangkan untuk masjid.

Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) antara pihak yang membangkitkan dakwaan itu dan mahu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) memberikan penjelasan.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri tidak pernah meluluskan penggunaan tanah JHEAINS itu bagi pembinaan rumah ibadat bukan Islam.

Mengulas lanjut Partiban menggesa kerajaan negeri agar mewartakan tapak kuil yang sedia ada selepas ia wujud lebih 30 tahun.

"Isunya sekarang, kerajaan negeri mewartakan tapak masjid tetapi tapak kuil dibiarkan begitu sahaja.

"Kuil itu berada di situ lebih 35 tahun. Kegagalan kerajaan mewartakan tapak kuil inilah punca kekeliruan yang berlaku sekarang.

"Ini kerana pihak kuil tidak pasti keluasan tapak kuil dan sempadan kami sehingga secara tidak sengaja menceroboh tapak masjid," katanya.

Untuk rekod, Pengarah JHEAINS, Zaidi Ramli sebelum ini berkata tanah kira-kira 0.6 hektar itu sudah diwartakan sebagai tapak Masjid Taman Indah Baru sejak 2011.

Katanya, memang terdapat sebuah kuil berhampiran tapak itu, namun bukan di dalam kawasan tapak masjid keseluruhannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS