Penduduk Seksyen U10 di Shah Alam, Selangor menyuarakan kebimbangan terhadap penebangan hutan yang berlaku di Bukit Cherakah, yang kata mereka, mungkin boleh menyebabkan banjir kilat.
Beberapa penduduk yang tidak mahu dinamakan berkata, kawasan yang sedang dibangunkan itu berfungsi sebagai kawasan tadahan air semulajadi, dengan terdapatnya beberapa buah tasik di sekitarnya.
“Pembangunan ini akan menyebabkan dasar tasik menjadi cetek. Tanpa pokok untuk menyerap air ketika hujan, berkemungkinan terjadi banjir kilat,” kata wakil kumpulan berkenaan ketika ditemui di kawasan tersebut.
Malaysiakini telah beberapa kali menghubungi pejabat Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mendapatkan ulasan berhubung kebimbangan disuarakan penduduk itu, tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.
Ketika lawatan Malaysiakini ke tapak itu pada 7 September, kerja-kerja tanah sedang dijalankan berdekatan dua buah tasik - salah satunya bersebelahan dengan kawasan kejiranan Perdana Heights di Shah Alam.
Kawasan berkenaan dikenali sebagai Kompartmen 35 hutan Bukit Cherakah. Laman web Jabatan Perancangan Bandar dan Desa menyatakan tanah yang ditandakan sebagai Lot 57621 itu dimiliki oleh kerajaan negeri.
Rekod Pejabat Tanah dan Daerah pula menunjukkan terdapat satu pemaju yang memperoleh pajakan 99 tahun ke atas tanah itu pada 11 Ogos 2020. Gambar satelit memaparkan kerja pembersihan tanah telah pun bermula sebelum tarikh itu.
Satu papan tanda Pejabat Tanah dan Daerah di tapak itu memperincikan permit kerja-kerja tanah hanyalah untuk September hingga November 2020 sahaja.
Hutan penting untuk biodiversiti
Penduduk yang bercakap kepada Malaysiakini memberitahu bahawa mereka terganggu dengan kebenaran kerajaan untuk hutan itu dibangunkan memandangkan kepentingan ekologi di situ.
“Kami pernah lihat hidupan liar minum air dari tasik berdekatan. Sejak pembangunan bermula, tak dapat lihat lagi pemandangan sedemikian,” dakwa seorang penduduk.
Mereka turut berkata tapir Malaysia pernah kelihatan di hutan Bukit Cherakah. Ini, kata penduduk, bukti kekayaan kepelbagaian bio di hutan berkenaan.
Pada 17 Ogos, seekor tapir diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di sekitar hutan simpan Bukit Cherakah sebelum dipindahkan.
Tanah yang sedang dibersihkan itu merangkumi beberapa bidang tanah yang dikatakan asalnya sebahagian daripada hutan simpan Bukit Cherakah sebelum dikeluarkan pada 2002, dakwa sesetengah aktivis.
Sepasukan pakar yang mewakili satu kumpulan pendesak dikenali sebagai Rimba Komuniti Shah Alam (SACF), telah menyemak warta kerajaan negeri.
Pun begitu, kata SACF, mereka tidak dapat menemukan warta berkaitan dan oleh demikian, mereka mendakwa pengeluaran tanah tersebut dari warta hutan simpan sebagai tidak sah.
Perkara ini dibangkitkan dalam satu sesi pendengaran umum MBSA tentang draf rancangan tempatan 2021-2035 pada 8 April.
Dua exco kerajaan negeri turut hadir semasa pendengaran itu - Hee Loy Sian dan Ng Sze Han.
SACF Society berkata meskipun ahli politik berjanji untuk meneliti isu yang dibangkitkan, pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas mengenainya.
Berdasarkan laman web Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, plot-plot tanah hutan bersebelahan Kompartmen 35 - termasuk dua buah tasik semulajadi - telah dizonkan untuk kawasan perumahan.