Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ perjelas kenapa imuniti kelompok tak lagi realistik

Tahun lalu, Malaysia telah menetapkan matlamat untuk memvaksinasi 70 peratus penduduknya bagi mencapai imuniti kelompok terhadap Covid-19 dan dengan itu membuka laluan keadaan kembali sediakala seperti sebelum wabahk.

Namun, dengan kemunculan varian Delta, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sasaran mencai imuniti kelompok tidak lagi dianggap realistik kerana dua faktor - kadar kebolehjangkitan varian baru yang tinggi dan keberkesanan vaksin terhadapnya.

Dia memberitahu sidang media semalam liputan vaksin yang diperlukan untuk mencapai imuniti kelompok dikira berdasarkan kadar kebolehjangkitan, atau R-naught (R0).

Semakin tinggi R0, semakin besar liputan vaksin yang diperlukan. Selepas nilai ambang dicapai, maka penyakit ini dapat dikendalikan atau bahkan dapat dibasmi walaupun beberapa orang masih belum divaksinasi.

R0 adalah ukuran penularan penyakit. Sebagai contoh, R0 dengan nilai tiga bermaksud setiap orang yang dijangkiti dapat menjangkiti rata-rata tiga orang lain sepanjang penyakitnya, dan kitaran kemudian bermula lagi dengan tiga orang baru kena jangkitan.

Untuk strain Covid-19 asli di Wuhan, Khairy berkata R0 adalah antara dua dan tiga.

"Tetapi apa yang telah mengubah pendirian sebahagian besar negara adalah kemunculan varian Delta.

"Nilai R0 telah meningkat antara 6 hingga 10. Ada yang kata lebih daripada itu bagi Delta. Varian Delta juga telah mengubah tahap keberkesanan terhadap vaksin dan juga tahap penularan virus. Infectivity dia adalah jauh lebih tinggi daripada virus asal [...]

"Berdasarkan maklumat daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tiada negara yang telah mencapai so-called 'herd immunity'.

"Malah pihak WHO juga menyatakan bahawa matlamat utama vaksinasi adalah mengurangkan kes dan kematian, manakala untuk mencapai immuniti kelompok bukan lagi menjadi keutamaan ataupun suatu perkara yang realistik,” katanya.

Dia menjelaskan ucapannya kepada ahli parlimen pada hari Khamis di Dewan Rakyat bahawa sasaran mencapai imuniti kelompok tidak lagi menjadi perkara utama selepas penularan varian Delta.

Jelasnya, strategi kerajaan pada masa ini adalah untuk mencapai kadar vaksinasi sebanyak mungkin di negara ini.

Ini bermakna semua orang dewasa dan remaja akan lengkap vaksinasi mereka pada akhir tahun ini, dan memberi vaksin kepada anak-anak juga selepas mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Sebagai tambahan, dos ketiga dan dos penggalak akan diberikan kepada kumpulan rentan tertentu, setelah panduan klinikal untuk melakukannya tersedia.

"Strategi ini amat penting untuk kita mengawal penularan Covid-19, mengurangkan kadar kemasukan ICU, serta mengurangkan kadar kematian agar kita dapat memasuki ke fasa endemik dengan selamat,” katanya lagi.

Pada 1 Sept, menteri kesihatan itu berkata Covid-19 akan dianggap sebagai endemik dan negara akan beralih daripada pendekatan pembendungan total.

Jelas Khairy, sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia untuk menerima kenyataan bahawa Covid-19 akan berada di kalangan masyarakat, dan dengan itu harus belajar hidup dengan virus tersebut.

Ini bererti menerima "normal baru" seperti memakai pelitup muka, kerana lebih banyak sektor dibolehkan dibuka semula dan peraturannya dipermudah. Peralihan itu dijangka berlaku pada bulan Oktober.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS