Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP cadang kamar khas bersidang serentak dengan dewan utama
Diterbitkan:  Sep 24, 2021 5:29 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

Seorang ahli parlimen DAP mencadangkan supaya kamar khas bersidang serentak dengan dewan utama.

Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar berkata buat masa ini kamar khas tidak berfungsi dalam keadaan yang optimum - kurang daripada 10 peratus masa persidangan.

"Banyak soalan-soalan yang dikemukakan ahli-ahli Dewan tidak dapat dijawab (di Dewan Rakyat) kerana kesuntukan masa.

“Beban ini boleh dipindahkan ke kamar khas,” katanya yang juga bekas speaker Dewan Undangan Negeri Perak.

Dalam kenyataan hari ini, Sivakumar berkata parlimen mempunyai semua sumber dan fasiliti yang mantap di kamar khas.

Maka, katanya, ia haruslah digunakan sepenuhnya.

Kamar khas ditubuhkan pada Mei 2016 sebagai satu lagi sayap baru semak dan imbang yang menjadikan sebahagian daripada fungsi parlimen yang utama.

Kamar khas diwujudkan untuk memberi ruang yang lebih kepada wakil rakyat untuk mengutarakan persoalan-persoalan tertentu kepada perhatian kerajaan.

Buat masa ini, kamar khas bersidang pada waktu petang apabila Dewan Rakyat atau Dewan Negara bersidang.

Kamar ini menjalankan fungsi tambahan parlimen untuk menjawab ucapan yang dibawa oleh ahli-ahli parlimen bawah Peraturan Mesyuarat 17.

Namun, Sivakumar berpendapat bahawa ucapan dalam kamar khas bukanlah berbentuk perbahasan.

"Jawapan yang diberikan itu haruslah diterima secara bulat-bulat tanpa diberi peluang untuk mempertikaikan fakta-fakta yang diberikan oleh kerajaan.

“Ahli parlimen yang membangkitkan usul itu tidak ada peluang untuk membahas atau mengemukakan soalan tambahan. Ini adalah satu daripada kelemahan prosiding di kamar khas,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS