Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AG sudah diminta gubal RUU antilompat parti - Wan Junaidi

PARLIMEN | Peguam Negara (AG) telah diminta untuk menggubal Rang Undang-Undang Antilompat Parti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam.

Bagaimanapun katanya langkah berkenaan memerlukan kajian mendalam kerana persoalan itu amat rumit.

“Kerajaan pun baru bermula, proses undang-undang ini bukan (mengambil masa) tiga hari bukan tiga minggu, ambil masa,” katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat.

Wan Junaidi menjawab celahan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) mengenai komitmen kerajaan untuk melaksanakan rang undang-undang (RUU) itu, serta sama ada tindakan lompat parti akan dijadikan kesalahan jenayah atau tidak.

Wan Junaidi berkata apabila draf rang undang-undang itu siap, ia akan dibawa untuk dibincangkan dengan setiap ahli parlimen terlebih dahulu sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Apabila siap draf rang undang-undang itu nanti, kami baca satu persatu... saya akan tanya setiap orang,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said juga mengusulkan mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Rang Undang-Undang Pemecatan Ahli-Ahli Parlimen 2021 yang tersenarai dalam aturan urusan mesyuarat kali ini.

Sementara itu, berhubung siasatan kes tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa terbabit dalam salah guna kuasa berkaitan urusan kes seorang bekas ketua jabatan, Wan Junaidi berkata bukan menjadi perkara luar biasa bagi sesuatu agensi penguatkuasaan menjalankan penyiasatan terhadap pegawainya sendiri asalkan ia termaktub di bawah bidang kuasa agensi masing-masing.

Katanya dalam hal itu apabila first information report (FIR) diterima oleh SPRM, menjadi kewajipan kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan siasatan tanpa kelengahan.

“Siasatan kes ini masih berjalan dan SPRM akan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan profesional serta tiada kompromi untuk melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS