Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
CIDB buka PPV untuk pekerja asing di Lembah Klang mulai 27 Sept
Diterbitkan:  Sep 23, 2021 5:39 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Pekerja asing di Lembah Klang yang belum menerima vaksin Covid-19 boleh berbuat demikian di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dari 27 September hingga 6 Oktober.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam satu kenyataan berkata pekerja yang mendaftar secara dalam talian atau secara datang terus (walk-in) ke PPV berkenaan di Jalan Cheras, Kuala Lumpur, akan kenakan bayaran sebanyak RM90 bagi dua dos vaksin.

CITF berkata PPV berkenaan boleh menampung kapasiti harian sebanyak 2,000 orang dan akan dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.

"Bukan warganegara digalakkan untuk mendaftarkan nama mereka secara atas talian di laman sesawang https://vaccine.cidblink.com/ untuk mendapatkan janji temu dan untuk mempercepatkan proses pendaftaran apabila mereka hadir di PPV CIDB nanti.

"Setelah pendaftaran dan pembayaran secara atas talian (online) dibuat, mereka akan diberikan janji temu melalui emel dan/atau sistem pesanan ringkas (SMS).

"Bagi peserta yang tidak mendaftar tetapi mahu pergi ke PPV CIDB secara walk-in, pembayaran boleh dibuat apabila tiba di sana tertakluk kepada kekosongan pada hari tersebut," katanya.

Menurut CITF, setiap bukan warganegara yang hadir ke PPV berkenaan perlu membawa dokumen berkaitan seperti pasport atau sebarang dokumen pengenalan diri beserta telefon pintar dan bukti yang menunjukkan mereka bekerja di Lembah Klang.

Bagi majikan, mereka yang menghantar lebih daripada 10 orang pekerja dalam satu hari perlu menghantar wakil syarikat untuk menguruskan pekerja mereka di PPV berkenaan.

"Majikan juga bertanggungjawab memastikan mereka memahami segala proses dan borang yang perlu diisi di PPV seperti borang kebenaran digital untuk memudahkan proses vaksinasi," katanya.

Selain itu majikan juga bertanggungjawab memastikan pekerjanya memahami semua proses dan dokumen yang perlu diisi seperti borang persetujuan digital, untuk memudahkan proses vaksinasi.

CITF berkata inisiatif itu selari dengan usaha kerajaan untuk mencari golongan tercicir yang masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19 di Lembah Klang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS