Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tahan wanita pekerja kilang disyaki sembunyi kematian bayi
Diterbitkan:  Sep 23, 2021 8:38 AM
Dikemaskini: 12:59 AM

Alasan sakit kaki untuk dibawa ke klinik nyata tidak dapat menutup perbuatan seorang wanita warga Nepal menyembunyikan kelahiran bayinya yang ditemukan mati di asrama pekerja asing di sebuah kilang Alor Gajah, Melaka.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada pekerja kilang tersebut pada 9.10 pagi semalam sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

“Tiba di tempat kejadian, pihak polis menemui mayat bayi lelaki cukup sifat yang masih bertali pusat di dalam plastik hitam di atas katil asrama berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Arshad hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 28 tahun itu meminta pemandu van kilang untuk membawanya ke klinik panel kilang kira-kira jam 1.30 pagi pada 20 Sept lalu kononnya mengalami sakit kaki.

“Mengesyaki suspek baru sahaja lepas keguguran, pihak klinik tersebut merujuk wanita tersebut ke Hospital Alor Gajah sebelum kemudian dibawa ke Hospital Melaka.

"Susulan itu, suspek ditahan sekitar 12 tengah hari semalam dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, manakala mayat bayi itu dibawa ke bahagian forensik hospital itu untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dan pihak polis juga sedang mengesan teman lelaki suspek yang juga merupakan warganegara Nepal, untuk membantu siasatan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS