Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu kewarganegaraan: Rayuan bagi tangguh pelaksanaan sementara perlembagaan dipinda

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu kerakyatan anak kepada ibu warga Malaysia dan bapa warga asing bertujuan untuk menangguhkan pelaksanaannya sementara perlembagaan dipinda.

Jelasnya, pindaan perlembagaan akan memudahkan ibu-ibu Malaysia yang berkahwin dengan warga asing untuk melahirkan anak di luar negara.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil keputusan untuk merayu dan memohon stay of execution (iaitu penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Suriani Kempe dan enam lagi - lawan - kerajaan Malaysia) bagi mengelakkan contempt of court (hina mahkamah) dan pada masa yang sama supaya tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan," kata Hamzah ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Dia mengatakan mereka memutuskan untuk meminda perlembagaan kerana terdapat dua keputusan yang berbeza mengenai isu itu, kerana sebenarnya ada kes lain - Mahisha Suhaila Abdul Majeed v pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan dua yang lain - mencabar peruntukan yang serupa di mana keputusan kes itu memihak kepada kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, Mahisha telah mengajukan rayuan atas keputusan tersebut ke Mahkamah Rayuan dan perbicaraan ditetapkan pada November 2021.

"Setelah menerima keputusan yang bebeza KDN bercadang untuk membawa perkara ini bagi mendapat polisi baharu kerajaan untuk meminda perlembagaan bagi memudahkan ibu-ibu melahirkan anak mereka di luar negara walaupun berkahwin dengan warganegara asing.

"Dalam masa yang sama perkara ini perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja selaras dengan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Undang-undang kewarganegaraan terkandung di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan.

Ketika diminta oleh Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) untuk memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberi komitmen untuk meminda perlembagaan, Hamzah mengatakan bahawa pindaan itu harus dipersetujui terlebih dahulu oleh Majlis Raja-Raja.

Semalam, Ramkarpal telah menyatakan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Suriani Kempe dan enam yang lain terhadap kerajaan Malaysia tidak mengikat (binding).

Jelasnya, Mahkamah Tinggi lain pada masa akan datang boleh membuat tafsiran berbeza mengenai peruntukan kewarganegaraan dala Perlembagaan Persekutuan.

Juster, Ramkarpal menyarankan kerajaan untuk meminda perlembagaan bagi menghilangkan kekeliruan dari peruntukan yang relevan dalam Perkara 14 dan Bahagian (1) (b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 14 menyentuh mengenai kewarganegaraan Malaysia.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 9 September memutuskan bahawa peruntukan perlembagaan yang hanya memberikan kewarganegaraan automatik kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negeri jika ayahnya warganegara Malaysia tetapi tidak jika hanya ibu warganegara Malaysia, adalah diskriminasi.

Susulan itu, kerajaan telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan itu, yang mendapat kritikan dari ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS