Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Terengganu perlu beri perhatian serius terhadap Projek Sunrise City

ULASAN | Pendedahan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) tentang projek Sunrise City Sdn Bhd seluas 768 hektar di Kampung Teluk Ketapang, Kuala Nerus, Terengganu perlu dipandang serius.

Bukan hanya kerana keluasannya yang amat besar tetapi juga kerana lokasinya mempunyai sejarah masalah besar sejak tahun 2009 di mana hakisan pantai yang teruk di kawasan berdekatan berlaku di Pantai Tok Jembal dan kawasan sekitarnya.

Hakisan teruk yang melibatkan rumah, tanah orang ramai, chalet dan resort sehingga ke kawasan Batu Rakit dipercayai ada kaitan dengan penambakan menyambung landasan baru Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke dalam laut China Selatan beberapa ratus meter yang siap pada 2008.

Kawasan Pantai Tok Jembal, Mengabang Telipot termasuk kawasan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sehingga Pantai Batu Rakit terkesan teruk hingga sekarang.

Jika sambungan berapa ratus meter landasan lapangan terbang boleh membawa kesan teruk sedemikian rupa, bayangkan akibat penambahan tambakan 768 hektar tanah ke dalam laut China Selatan. Kerajaan Terengganu patut lebih berhati-hati kali ini.

Pandangan dan aduan penduduk tempatan patut diberi perhatian serius apabila mereka telah pun menyatakan hakisan teruk Kampung Tok Jembal dan kawasan sekitarnya berlaku setelah kerja sambungan landasan lapangan terbang dijalankan.

Kami dari pihak profesional yang pernah terlibat dengan kajian alam sekitar pun berpendapat kerja sambungan landasan lapangan terbang membawa kesan hakisan teruk terhadap pantai berdekatan. Pandangan sama turut dikongsi oleh kumpulan pencinta alam.

Pada satu seminar atau bengkel antarabangsa di Universiti Kebangssan Malaysia (UKM) pada November 2013 lagi Dr Edlic Sathiamurthy dari UTM menyatakan kajian beliau mendapati memang kerja landasan tersebut telah menyebabkan hakisan kawasan berdekatan berlaku .

Tidak boleh dinafikan kesan hakisan terus berlaku sehingga hari ini.

Oleh itu kerajaan Terengganu yang memproses permohonan projek Sunrise City untuk memulakan projek tersebut pada tahun 2019 perlu memikirkan kesan hakisan teruk yang akan dialami oleh penduduk kampung berdekatan serta kumpulan nelayan akan yang turut terjejas.

Pihak kerajaan jangan hanya mengejar pulangan perniagaan semata mata. Aset pelancongan berdekatan di Taman Laut Negara di Pulau Redang dan Bidong dikhuatiri akan rosak teruk dan habitat hidupan laut serta aset marin yang lain.

Ini akan memusnahkan aset pelancongan utama Terengganu dan Malaysia.

Kami bukan antipembangunan negeri Terengganu tetapi memandangkan masih banyak lagi tanah di Kuala Nerus yang boleh dibangunkan tanpa menjejas harta serta hidup rakyat tempatan serta hidupan marin, mengapa pilihan yang kontroversi ini dipilih?

Kuala Nerus bukanlah seperti Singapura, Johor Bharu atau Pulau Pinang yang mana mereka kekurangan tanah pembangunan dan harga tanah pun amat mahal.

Oleh itu orang Kuala Nerus sudah pasti lebih bimbang dan berwaspada projek penambakan besar-besaran yang akan melibatkan pemindahan pasir secara lebih meluas yang mungkin akan melibatkan masalah hakisan yang lebih besar lagi ke atas komuniti tempatan.

Kerajaan negeri perlu membuat pertimbangan bijaksana tanpa mengejar keuntungan kewangan jangka masa pendek semata mata. Membangunlah dengan nilai Islam sebenarnya dengan keutamaan kebajikan rakyat dan alam semula jadi kurniaan Allah di hati.


RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH adalah anggota Dewan Negara merangkap pengerusi Amanah Terengganu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS