Pengurusan kuil di Tampin, Negeri Sembilan, yang didakwa menceroboh tanah masjid, berkata mereka bersedia menyelesaikan isu itu secara baik dengan pihak berkenaan.
“Kami penduduk Taman Indah mempunyai hubungan yang baik antara satu sama lain.
"Biar kami pihak kuil menyelesaikan isunya bersama dengan pengurusan surau dan kerajaan negeri," kata pengerusi kuil Sri Murugan Alayam Taman Indah M Partiban kepada Malaysiakini.
Ahli jawatankuasa surau setempat sebelum ini dilapor menghantar memorandum kepada wakil rakyat Repah bagi membantah dakwaan pembesaran kuil di tapak yang dicadangkan untuk masjid.
Kumpulan pendesak lantang Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) antara pihak yang membangkitkan dakwaan itu dan mahukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) memberikan penjelasan.
Menteri Besar Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri tidak pernah meluluskan penggunaan tanah JHEAINS itu bagi pembinaan rumah ibadat bukan Islam.
Baca: Bina kuil atas tapak masjid? Tiada keputusan itu, kata MB
Pengarah JHEAINS Zaidi Ramli pula berkata memang terdapat sebuah kuil berhampiran tapak itu, namun bukan di dalam kawasan tapak masjid keseluruhannya.
Sementara itu, Partiban berkata pihak pengurusan kuil akan bermesyuarat Jumaat ini untuk membincangkan perkara selanjutnya.
Kecewa dengan 'orang luar'
Dia bagaimanapun berkata mereka kecewa dengan tindakan “orang luar” dan ahli politik cuba memperbesarkan-besarkan perkara itu.
Menceritakan sejarah kuil itu, katanya, pada asalnya ia dibina di kawasan tinggi oleh penganut Hindu di kawasan sekitarnya pada tahun 70-an.
"Selepas saya menjadi pengerusi, saya membesarkan pembinaan kuil.
"Tetapi, baru-baru ini kami diberitahu bahawa pembinaan kami sudah ceroboh di tapak yang disediakan untuk masjid.
"Kami memang tidak tahu. Sekiranya benar kami ceroboh tapak masjid, itu secara tidak sengaja.
"Dan kami sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk menyelesaikan perkara ini," katanya yang menjadi pengerusi kuil sejak 2018.