Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cuepacs gesa k'jaan wajibkan penjawat awam ambil vaksin
Diterbitkan:  Sep 22, 2021 3:43 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan mewajibkan vaksinasi kepada seluruh penjawat awam.

Menurut presidennya Adnan Mat, Cuepacs menyokong sepenuhnya cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk mewajibkan semua penjawat awam mengambil vaksin kecuali bagi mereka yang mempunyai alasan kukuh.

Katanya pada masa ini, hanya dua peratus penjawat awam yang masih belum mengambil vaksin atas beberapa faktor seperti masalah kesihatan serta masih tidak yakin dengan keberkesanannya.

“Dalam hal pengambilan vaksin, Cuepacs berpandangan kerajaan perlu mengambil langkah-langkah yang lebih ke hadapan berdasarkan peraturan semasa yang sedia ada bagi memastikan penjawat awam keseluruhannya mengambil vaksin.

“Segala usaha dan kempen kesedaran pengambilan vaksin Covid-19 telah dilakukan oleh kerajaan dan ia sepatutnya sudah boleh difahami dengan jelas masyarakat mengenai kepentingan dan kebaikan vaksin Covid-19.

“Justeru itu, langkah baru seperti cadangan mewajibkan pengambilan vaksin perlu dilakukan untuk melengkapkan lagi usaha yang sudah dibuat selama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, Cuepacs sendiri sebelum ini telah mencadangkan agar kerajaan mengeluarkan pekeliling khusus untuk penjawat awam yang masih tidak mengambil vaksin dengan menjelaskan tindakan dan pendekatan boleh dilakukan ke atas mereka.

Katanya, penjawat awam selaku jentera pentadbiran kerajaan yang melaksanakan segala dasar dan polisi kerajaan sewajarnya menjadi kumpulan pertama yang menjayakan aspirasi kerajaan.

“Bagaimanapun tanpa pekeliling khusus mengenai pengambilan vaksin oleh penjawat awam boleh mengakibatkan usaha untuk memastikan keseluruhan penjawat awam ini mengalami sedikit kesukaran,” katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS