Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan membakar sebuan pondok bit Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tertuduh Mohd Zamri Mohd Zakariyah, 35, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga seorang buruh kasar didakwa melakukan khianat dengan api dengan cara membakar pondok bit PDRM kira-kira jam 2.20 pagi di Jelawat, Bachok, pada 11 September lalu.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu penjara boleh sampai 20 tahun dan denda.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh diwakili Syed Muhammad Syafiq Syed Abdu Bakar dan Husni Mubarak.

Terdahulu Fariz memohon agar tertuduh ditawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam bela memohon jaminan lebih rendah memandangkan faktor ekonomi dihadapi tertuduh yang bekerja sebagai buruh dan menyara seorang ayah yang sudah tua.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan tarikh 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Pada 12, September lalu Malaysiakini melaporkan Polis Kelantan berjaya menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kebakaran sebuah pondok bit polis di Jelawat, Bachok.

Menurut pihak polis, hasil rakaman kamera litar tertutup kedai perkakasan berdekatan, mendapati seorang lelaki menunggang motosikal telah bertindak membakar pondok polis tersebut sebelum beredar.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS