Kerajaan digesa memberikan penjelasan tuntas berhubung pendekatan yang akan digunakan ke atas warga sekolah yang tidak menerima suntikan vaksin menjelang pembukaan sekolah 3 Okt ini.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Mohamad Ali Hasan, berkata isu penerimaan vaksin dalam kalangan warga sekolah - guru, pelajar dan kakitangan lain - menjadi tanda tanya utama dalam kalangan ibu bapa sekarang.
Lebih-lebih lagi, katanya, ada kalangan guru yang terlibat secara langsung dalam sesi bersemuka melalui sistem penggiliran mingguan yang akan dilakukan di negeri Fasa 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Apakah pengasingan guru bervaksin dan guru tidak bervaksin itu akan menjadi satu masalah atau tidak?
“Bagaimana pula beban guru yang tidak mengajar disebabkan tidak divaksin? (Adakah) beban itu diambil alih oleh guru-guru lain, dan (adakah) boleh diimbangkan dengan tugas dan tanggungjawabnya atau tidak?
“Kita khuatir walaupun sedikit bilangannya (guru yang enggan divaksin), tetapi kadang-kadang perkara yang berbahaya ini berlaku daripada orang yang sedikit bilangannya,” katanya kepada Malaysiakini semalam.
Persoalan dibangkitkan Mohamad Ali itu susulan pengumuman Menteri Pendidikan Radzi Jidin pada 12 Sept lalu bahawa guru yang tidak divaksin - sama ada sengaja enggan atau kekangan faktor kesihatan - tidak akan dibenarkan mengajar di kelas apabila sekolah kembali dibuka awal bulan depan.
Kata Radzi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung tindakan lanjut terhadap guru yang enggan mengambil vaksin Covid-19.
Beberapa hari lalu Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (Page) menggesa kerajaan mempertimbangkan tawaran skim pemisahan sukarela (VSS) untuk guru-guru yang menolak vaksin tanpa alasan munasabah.
Banyak baik berbanding buruk
Bulan lalu sejumlah 779 guru di di Johor dikenal pasti menolak untuk divaksin dan mereka dititahkan menghadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Hasil pertemuan itu dinyatakan 396 daripada mereka menolak kerana ragu-ragu dengan vaksin berkenaan, manakala selebihnya menangguhkan pengambilan kerana faktor alahan, mengandung atau keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Mohamad Ali turut meminta penjelasan KPM berhubung pendekatan ke atas pelajar yang tidak divaksin sama ada mereka dibenarkan hadir kelas secara bersemuka atau sebaliknya, atau akan dibuat pengasingan antara pelajar divaksin dengan yang tidak divaksin di sekolah.
“Macam mana peratusan yang boleh dijamin selamat bagi sekolah untuk pelajar-pelajar yang disuntik dan yang tidak disuntik? Adakah (misalnya) peratusan 60 peratus pelajar yang disuntik itu memberi kepastian sekolah itu akan selamat, dan tak ada risiko daripada segi penyebaran?
“[...] Suntikan ini tidak dipaksa. Walaupun tidak dipaksa, kalau diberikan penerangan yang jelas, bimbingan dan tunjuk ajar dan keperluan suntikan, saya percaya mereka akan menerima kerana banyak kebaikan daripada keburukan berbanding tidak disuntik," katanya.
Tambah Mohamad Ali hal-hal itu perlu diberikan perhatian oleh KPM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar nilai ambang selamat dapat ditentukan dan sekolah dipastikan benar-benar selamat daripada penularan wabak Covid-19 setelah dibuka semula.
KPM mengumumkan sistem penggiliran mingguan secara terpilih untuk negeri Fasa 3 dan 4 PPN dengan murid sesuatu kelas dibahagikan kepada dua kumpulan.
Hanya satu kumpulan hadir ke kelas fizikal pada satu-satu masa, manakala kumpulan satu lagi akan menjalani PdPR.
Sistem penggiliran mingguan itu dikecualikan antaranya kepada pelajar sekolah berasrama penuh (SBP), murid keperluan khas dan pelajar tingkatan enam dalam semester kedua.
Semua pelajar yang tidak kembali ke sekolah akan meneruskan kelas dalam talian.
Bagi yang terlibat dalam kelas bersemuka, kata Radzi, ibu bapa atau penjaga diberikan pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah jika bimbangkan ancaman Covid-19, dan pelajar tidak akan dikenakan tindakan disiplin jika memilih meneruskan kelas PdPR di rumah.
Sekolah di negeri fasa satu dan dua pula kekal ditutup kecuali buat pelajar yang akan menghadapi peperiksaan utama.
Ada sesi libat urus
Antara kebimbangan yang dibangkitkan tentang sistem penggiliran adalah sama ada guru perlu mengulang pengajaran kepada dua kumpulan yang bergilir, dan apakah guru terbabit perlu membuat dua persediaan untuk mengajar di kelas bersemuka dan juga PdPR - yang menambah beban guru.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, pula berpendapat tafsiran sedemikian tentang sistem penggiliran adalah tidak tepat.
Katanya, NUTP telah membuat kajian berkenaan pengajaran fizikal semasa wabak Covid-19 dan mengemukakan cadangan bahawa kelas bersemuka dan PdPR boleh dijalankan serentak tanpa guru perlu mengulang-ulang topik yang sama untuk dua kumpulan berbeza.
Katanya, pendekatan PdPR juga luas - sama ada secara dalam talian atau luar talian - dan guru boleh menggunakan rakaman video, modul dan bahan bantuan belajar lain yang diberi lebih awal.
Menurutnya tidak semestinya setiap kelas dibuat secara dalam talian atau langsung.
“Apabila minggu berikutnya, kumpulan yang belajar di rumah balik ke sekolah (dan begitulah sebaliknya) … belajar topik seterusnya. Cuma cikgu boleh buat pengukuhan (topik sebelumnya), apa yang murid tidak faham boleh dijelaskan sambil-sambil itu,” katanya kepada Malaysiakini baru-baru ini.
Sistem penggiliran kehadiran murid dari kelas yang sama dicadangkan NUTP sejak Mei tahun lalu lagi hasil kajian pada Mac sebelumnya bersama pakar pendidikan, bagi mengekang penularan wabak dan meningkatkan pembelajaran murid.
Kata Aminuddin, NUTP turut terlibat dalam sesi libat urus kumpulan pakar dengan KPM beberapa hari sebelum pengumuman pembukaan semula sekolah dibuat.
Namun, akuinya, setakat ini NUTP belum menerima garis panduan daripada KPM berhubung cara sebenar sistem penggiliran untuk kelas bersemuka dan kelas secara PdPR itu.
Pun begitu, ketika negara bergerak ke fasa endemik Covid-19, dia berpendapat sudah sampai masanya negara tidak bergantung sepenuhnya pada kelas bersemuka sebaliknya ia sebaik-baiknya disokong juga dengan PdPR.
“NUTP minta supaya untuk masa akan datang, ada perancangan jangka panjang... kita mahu PdPR ini menjadi satu sokongan kepada pembelajaran bersemuka di sekolah walaupun mungkin kita dah masuk fasa endemik nanti,” katanya lagi.