Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Keputusan isu kerakyatan tak mengikat, mahkamah lain boleh buat tafsiran berbeza'

Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengingatkan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak amalan diskriminasi terhadap ibu-ibu Malaysia dengan anak-anak yang dilahirkan di luar negara tidak mengikat (binding).

Justeru, katanya isu sama ada kerajaan menarik balik rayuan mereka terhadap keputusan itu atau tidak, tidak penting.

Sebaliknya, kata Ramkarpal, kerajaan harus mempertimbangkan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan yang menimbulkan kekeliruan.

"Kita harus sedar bahawa walaupun rayuan ditarik, keputusan Mahkamah Tinggi ini tidak mengikat Mahkamah Tinggi lain.

"Ini bermakna Mahkamah Tinggi lain pada masa depan boleh buat tafsiran yang lain dan berbeza dari hakim (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) tersebut dan boleh kembali kepada keadaan sebelum keputusan tersebut, di mana hak kerakyatan hanya diberi ke anak seorang bapa orang Malaysia, dan bukan kepada isteri (dengan pasangan warga asing)," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Justeru, dia menyarankan pindaan perlembagaan untuk menghilangkan kekeliruan dari peruntukan yang berkaitan dalam Perkara 14 dan Bahagian (1) (b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 14 menyentuh mengenai kerakyatan Malaysia.

Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan dengan kewarganegaraan Malaysia untuk orang yang dilahirkan pada atau selepas Hari Malaysia.

Dia mengatakan ini akan mengelakkan situasi di mana penafsiran peruntukan dapat kembali kepada keadaan sebelum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Kita akan memerlukan majoriti dua pertiga (untuk meminda perlembagaan), tetapi jika perlembagaan dipinda untuk menghilangkan kekeliruan bagi menyelesaikan masalah tersebut, maka pada masa depan, masalah seperti itu tidak akan terjadi lagi.

"Saya mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan dan saya harap semua orang akan mendukung pindaan tersebut," kata Ramkarpal.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan pada 9 September bahawa ibu dan ayah Malaysia dengan pasangan asing harus diberi manfaat yang sama dengan anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara dengan diberi kewarganegaraan automatik.

Namun, kerajaan telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS