Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
580,000 isi rumah tergelincir ke kategori B40
Diterbitkan:  Sep 21, 2021 5:58 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Sebanyak 580,000 isi rumah dari golongan berpendapatan sederhana tergelincir ke dalam kategori 40 peratus (B40) terbawah kerana kemerosotan ekonomi yang disebabkan oleh wabak Covid-19, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya, ia terdiri daripada kira-kira 20 peratus kumpulan pertengahan 40 peratus (M40), yang sebelum ini menerima pendapatan bulanan antara RM4,850 hingga RM10,959, katanya.

Tambahnya, pandemik juga menyaksikan kumpulan B40 mengalami kerugian pendapatan yang mengakibatkan kadar kemiskinan mutlak di Malaysia meningkat kepada 8.4 peratus pada tahun 2020 berbanding dengan 5.6 peratus pada tahun 2019.

Ismail memetik data yang diberikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang masih berlaku untuk Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa yang ditetapkan pada RM2,208 sebulan.

"Kerajaan telah melakukan kajian kesan sosioekonomi berikutan wabak itu," katanya kepada S Kesavan (PH-Sungai Siput) dan Natrah Ismail (PH-Sekijang) dalam jawapan parlimen hari ini.

"Berdasarkan laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 20 peratus atau kira-kira 580,000 isi rumah daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 dan RM10,959 telah beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40," katanya.

Namun, dia menyatakan bahawa kadar pengangguran menyumbang pengurangan pendapatan untuk kategori M40 dan B40.

Kesavan dan Natrah sebelum itu bertanya adakah kerajaan merancang untuk menyemak semula ambang PGK untuk menggambarkan keadaan semasa.

Ismail berkata, kerajaan akan mengkaji semula ambang PGK bersama dengan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas pada tahun 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS