mk-logo
Berita
Anwar minta Takiyuddin henti salah guna konsep takdir
Diterbitkan:  Sep 21, 2021 3:19 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Anwar Ibrahim mendesak agar Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan berhenti menyalahgunakan konsep takdir bagi menjelaskan bencana kepala air yang melanda kawasan sekitar Gunung Jerai, Kedah baru-baru ini.

Kata ketua pembangkang itu, pandangan pakar menunjukkan faktor utama yang menyumbang kepada bencana itu ialah aktiviti manusia seperti pembalakan dan pembinaan.

“Saya mendesak menteri yang bertanggungjawab agar lebih serius melakukan pemantauan dan hentikan salah guna konsep takdir kerana faktor-faktor utama adalah berpunca dari kerakusan dan ketamakan manusia,” katanya di Facebook.

Meskipun semalam Takiyuddin menafikan terdapat aktiviti pembalakan di situ kerana ia termasuk dalam kawasan hutan simpan kekal (HSK), Anwar hari ini memetik agensi kerajaan negeri bahawa aktiviti penerokaan turut berlaku di kawasan hutan simpan.

Di Dewan Rakyat semalam - ketika menjawab soalan mengenai jalan ke Gunung Jerai yang masih tidak selamat - Takiyuddin menyifatkan bencana kepala air itu sebagai “satu takdir Allah”.

Ahli parlimen Kota Bharu itu juga menegaskan tiada aktiviti pembalakan berlaku di kawasan sekitar. Namun jawapan berkenaan kemudian dibidas Anwar.

Kata Takiyuddin, Gunung Jerai diisytihar sebagai National Geo Park of Jerai dan tiada aktiviti pembalakan boleh dijalankan di situ.

Iklim hanya faktor sampingan

Katanya ia juga terletak di dalam HSK Ulu Muda dengan sebahagian daripadanya (12 peratus) merupakan kawasan perlindungan.

Tambah Takiyuddin, meskipun 80 peratus daripada HSK itu boleh diusahakan hasilnya, dia difahamkan tiada lesen diberikan dan hutan kekal itu tidak dibalak, meskipun sebanyak 25,000 hektar tanah telah diluluskan untuk lesen pembalakan di HSK Kedah dari 2014 hingga 2019.

Namun, tingkah Anwar hari ini, kawasan Gunung Jerai sebenarnya tidak berada di dalam HSK Ulu Muda seperti dakwaan Takiyuddin.

“Segala kenyataan yang dibuatnya tidak tepat dan mengelirukan,” kata Anwar.

Tambah ahli parlimen Port Dickson itu lagi, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) mengenal pasti kira-kira 3,500 hektar kawasan hutan simpan di seluruh Kedah telah diteroka secara haram sejak 2011.

Anwar turut memetik pandangan pakar hidrologi dari Universiti Sains Malaysia, Chan Ngai Weng, yang berpendapat perubahan iklim hanya faktor sampingan kepada musibah tersebut.

Sebaliknya kata Chan faktor utama yang mendorong bencana itu ialah pembalakan, aktiviti pembinaan dan penanaman (agro) serta penukaran status hutan dara ke kawasan petempatan.

Air banjir yang berselut dalam insiden itu pula, kata Anwar, adalah bukti nyata aktiviti pembalakan berlaku dengan kadar yang melampau, seperti dakwaan NGO Sahabat Alam Malaysia (SAM).

“Pihak kementerian harus melaksanakan siasatan menyeluruh apakah berlaku sebarang aktiviti pencerobohan hutan di kawasan tersebut.

“[...] Kerajaan negeri Kedah, kerajaan persekutuan serta kementerian harus memantau dan bertindak,” katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS