PARLIMEN | Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun hari ini menjelaskan tindakan menarik balik jemputan untuk Ahli Parlimen Teluk Intan mempengerusikan sementara mesyuarat petang semalam, dibuat tanpa tekanan mana-mana pihak.
Azhar berkata perkara itu diputuskan oleh beliau sendiri yang menukar fikiran pada saat akhir.
Menjelaskan perkara itu, beliau berkata surat menjemput Nga Kor Ming mempengerusikan sementara persidangan dewan diberikan kepada Ahli Parlimen berkenaan dan beliau berterima kasih kepada Nga yang bersedia menerima jemputan tersebut.
“… saya sebenarnya tidak didorong atau ditekan oleh sesiapa untuk menukar fikiran itu, saya cuma menggunakan kuasa saya untuk bertukar fikiran,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat sebelum sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.
Isu itu dibangkitkan Khoo Boay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta penjelasan terhadap dakwaan terdapat seorang menteri kanan masuk campur urusan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan meminta dinamakan menteri kanan berkenaan.
"… ada satu laporan ada seorang menteri kanan telah sekat kuasa Speaker mengundang Teluk Intan sebagai Speaker semalam. Saya nak tahu adakah menteri kanan itu ada dalam Dewan sekarang,” katanya.
Perkara itu kemudian menyebabkan beberapa wakil rakyat pembangkang turut bangun mempersoalkannya, antaranya Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat berhubung perkara itu dan memohon penjelasan sama ada mesyuarat petang semalam sah atau tidak.
Azhar bagaimanapun berkata berdasarkan Perkara 7 (3) Peraturan Mesyuarat, adalah menjadi kuasa beliau untuk meminta seorang ahli dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat untuk mempengerusikan mesyuarat.
“Prosiding itu sah lah sebab saya balik semula untuk mempengerusikan mesyuarat,” katanya.
Perkara 7 (3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyebut: Pada bila-bila masa mesyuarat bersidang, Tuan Yang Dipertua boleh meminta seseorang ahli mempengerusikan mesyuarat itu bagi sementara dengan tidak payah diberitahu Majlis Mesyuarat dengan secaranya dan ahli yang mempengerusikan ini tetaplah terserah kepadanya semua kuasa-kuasa Tuan Yang Dipertua sehingga Tuan Yang Dipertua balik semula mengetuakan mesyuarat.
Pada 15 Sept Datuk Seri Azalina Othman Said mempengerusikan persidangan buat sementara selepas diminta Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk berbuat demikian mengikut Perkara 7 (3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
- Bernama