Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hospital Tumpat 'diserbu' remaja untuk dapatkan vaksin

Hebahan pemberian vaksin Covid-19 untuk remaja nampaknya mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan terbabit.

Tinjauan Malaysiakini di Hospital Tumpat, Kelantan, hari ini mendapati pusat pemberian vaksin (PPV) di situ 'diserbu' golongan remaja selepas agihan vaksin kepada individu berusia bawah 18 tahun dimulakan semalam.

Mereka didapati hadir seawal 8 pagi untuk beratur dan cuba mendapatkan giliran walaupun suntikan dihadkan kepada hanya 300 dos sehari.

Individu yang hadir hanya perlu mengisi borang persetujuan diri dan ibu bapa atau penjaga sebelum proses suntikan dilakukan.

Mohd Nobhan Che Jaafar, 46, berkata dia hadir awal dengan membawa dua anak lelakinya bagi mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19.

Katanya, peluang itu diambil bagi menyahut seruan kerajaan dalam usaha menjayakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Hari ini saya bawa anak berusia 12 dan 14 tahun untuk suntikan vaksin dos pertama.

"Alhamdulillah kedua-dua mereka disuntik walaupun terpaksa tunggu lama sebab orang ramai," katanya ketika ditemui Malaysiakini, hari ini.

Kena terus patuhi SOP

Bagi dua sekawan Iffah Irdiena Mohd Syukri, 15, dan Fatin Sabrina Azaman, 15, suntikan vaksin yang diterima mereka diharap dapat melindungi diri masing-masing daripada jangkitan teruk Covid-19.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat itu berkata, dengan melengkapi dos vaksin itu juga diharap dapat menyambung sesi persekolahan secara bersemuka.

"Kami rasa lega sebab akhirnya dapat juga vaksin, dan harapnya selepas ini pergerakan lebih mudah untuk ke sekolah selain mengurangkan risiko untuk dijangkiti Covid-19," kata mereka.

Sementara itu, Pengarah Hospital Tumpat Dr Aminah Rusmin Ghazali, berkata pihaknya turut tidak menjangkan program tersebut mendapat sambutan ramai.

Bagaimanapun katanya pihak PPV hanya membekalkan sebanyak 300 dos sehari seperti yang ditetapkan pihak pengurusan Jawatankuasa PICK Kelantan.

"Sebenarnya kita buka kepada remaja yang juga merupakan pesakit yang menerima rawatan di klinik pakar Hospital Tumpat.

"Tetapi ramai yang hadir mungkin disebabkan ada adik-beradik dan kawan-kawan mereka yang memberitahu perkara ini.

"Tambahan pula hari ini merupakan hari pertama pemberian secara walk-in di Hospital Tumpat bagi golongan remaja," katanya ketika dihubungi.

Tambah Aminah, ibu bapa yang hadir menemani anak masing-masing diharap dapat mengamalkan prosedur operasi standard yang ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS