Kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mempersoalkan data yang dikeluarkan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin berhubung kematian dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah eksekutifnya, Sevan Doraisamy dalam satu kenyataan berkata dalam jawapan lisan Hamzah kepada soalan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Karim pada 15 September, jumlah kematian yang dicatatkan tidak termasuk jumlah kematian yang berlaku pada tahun ini.
Katanya, Hamzah hanya memaklumkan Dewan Rakyat bahawa bagi tahun 2021 sehingga bulan Ogos, terdapat enam kematian di dalam lokap PDRM.
“Dalam pemantauan pihak Suaram, sehingga Ogos 2021 kami mendapati sekurang kurangnya tujuh kematian di dalam tahanan PDRM.
"Iaitu empat berbangsa Melayu, dua berbangsa india dan satu kes yang tidak dapat dikenal pasti identiti mangsa.
"Namun adalah membingungkan kami tentang bagaimana pihak KDN merekodkan jumlah kematian di dalam tahanan," katanya.
Menurut Sevan, berdasarkan jawapan lisan tersebut, jumlah yang diberikan KDN tidak melibatkan beberapa kematian yang jelas merupakan kematian dalam tahanan PDRM.
"Kematian Sivabalan Subramaniam sejurus selepas beliau ditahan oleh pihak polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak dan Umar Faruq yang meninggal dunia di dalam tahanan IPD Klang Selatan.
"Mengapa kematian Sivabalan yang jelas meninggal dunia kurang satu jam selepas penahanannya serta Umar yang meninggal di dalam IPD tidak dianggap sebagai kematian dalam tahanan?
"Adakah ini kerana pihak KDN yang menganggap kematian di dalam tahanan adalah sebagai kematian yang hanya berlaku di dalam lokap polis? Soalnya.
Sevan berkata, sekiranya ya, ia jelas bertentangan dengan definisi kepada kematian dalam tahanan oleh pelbagai pihak.
"Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam laporannya pada 2016 mendifinisikan kematian dalam tahanan sebagai kematian yang berlaku semasa penangkapan oleh polis, kematian dalam tahanan polis dan kematian ketika seseorang meninggal dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di pusat rawatan atau kematian di pusat rawatan untuk kes-kes yang memerlukan kemasukan wad ketika masih dalam tahanan polis.
"Kematian ini boleh berlaku di premis polis, premis swasta atau perubatan, di tempat awam, atau di dalam kenderaan polis atau orang lain," katanya.
Oleh itu, jelas Sevan definisi tersebut merangkumi kematian seseorang tahanan dari waktu dia ditangkap, semasa dalam pengangkutan ke pusat tahanan atau hospital, dan semasa mereka masih ditahan, tanpa mengira lokasi.
Tambahnya, menurut kepada definisi yang diberikan oleh IPCC juga, kematian yang berlaku ke atas A Ghanapathy selepas dia ditahan oleh IPD Gombak juga sepatutnya dianggap sebagai kematian dalam tahanan polis.
"Ini kerana walaupun dia telah dimasukkan ke pusat perubatan awam, kecederaan yang dialami oleh Ghanapathi adalah akibat dari penahanannya, oleh itu ianya kematian yang berlaku sejurus selepas penahanan oleh pihak polis," katanya.
Tegas Sevan, Suaram juga ingin menegaskan supaya KDN menggunakan standard antrabangsa dalam mendefinisikan kematian dalam tahanan, bukanya defini sempit seperti di dalam jawapan lisan yang dikeluarkan.
"Kerana amat jelas berdasarkan jumlah yang diberikan melalui jawapan lisan tersebut banyak kematian yang direkodkan oleh pihak kami berdasarkan defini kematian dalam tahanan antarabangsa tidak direkodkan.
"Ini bukan sahaja satu tafsiran yang amat dangkal tetapi juga suatu taktik bagi menunjukkan kematian di dalam tahanan semakin berkurang padahalnya masih banyak kematian yang tidak direkodkan kerana ia tidak berlaku di dalam lokap polis," katanya.
Tambahnya,Suaram berharap satu jawapan jelas dapat diberikan oleh Hamzah berkenaan perkara ini kerana ia suatu perkara yang amat serius dan melibatkan nyawa seseorang yang ditahan dan bawah jagaan PDRM.