Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Tangkapan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas tiga pegawai kanannya mendapat perhatian Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo hari ini.

Menurut Gobind langkah diambil agensi antirasuah itu mendatangkan tanda tanya kerana kes kecurian bukan terletak dalam bidang kuasa SPRM sebaliknya Polis Diraja Malaysia.

"Jadi mengapa SPRM yang buat tangkapan dan penahanan. Ini adalah perkara yang melibatkan pegawai SPRM.

"Adakah SPRM menyiasat SPRM sendiri?" katanya semasa membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu SPRM mengesahkan menahan tiga pegawai kanannya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan urusan kes membabitkan "seorang bekas ketua jabatan."

Menurut kenyataan SPRM tiga pegawai berkenaan ditahan reman selama enam hari selepas mendapat kebenaran Mahkamah Majistret Putrajaya.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan menafikan polis ada menerima laporan mengenai tangkapan tiga pegawai SPRM.

Kenyataan polis itu hadir ekoran dakwaan tular mengenai bekas ketua pengarah Badan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid yang didakwa dalam kes pecah amanah membabitkan RM50.4 juta dana kerajaan.

Hasanah kemudian dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan dalam perbicaraan pada April lalu.

Laporan tular itu mendakwa ketika Hasanah berusaha mendapatkan wangnya, dia mendapati sebahagian daripadanya diganti dengan wang kertas palsu. 

Gobind juga membangkitkan persoalan sama ada tangkapan tersebut serta kecurian wang berkenaan mempunyai kaitan dengan mana-mana pegawai kanan SPRM.

"Dan SPRM buat kenyataan supaya jangan ada spekulasi, tapi kenyataan yang dikeluarkan tanpa butiran (lanjut) akan mendorong rakyat membuat spekulasi," katanya lagi.

Bekas menteri komunikasi dan multimedia itu juga beranggapan apa yang berlaku itu menunjukkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob gagal menunjukkan kesungguhannya melaksanakan pembaharuan seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Katanya kerajaan tidak boleh membiarkan sesebuah agensi menjalankan siasatan sesama mereka sendiri.

"Ini bukan lawak jenaka, (ia) perlu disiasat oleh badan yang bebas dan telus," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS