Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Warisan gesa kerajaan siasat manipulasi harga ayam
Diterbitkan:  Sep 20, 2021 7:32 PM
Dikemaskini: 11:32 AM

Parti Warisan Sabah menggesa kerajaan agar memantau dan menyiasat kenaikan harga ayam baru-baru ini di pasaran dengan melihat kemungkinan kartel atau pakatan yang dijalankan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata, tindakan itu untuk mengelakkan rakyatdaripada dibebani kenaikan harga dan manipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Shafie merujuk beban sebelum ini yang dihadapi oleh rakyat pada bulan Jun lalu ketika minyak sawit untuk memasak meningkat sekitar RM10 sebotol kerana manipulasi harga.

“Setelah dua bulan kerajaan berunding dan cuba mencapai sepakatan dengan pihak pengeluar, pada 1 Ogos lalu, kerajaan telah menetapkan harga runcit maksimum minyak masak sawit sebanyak RM29.70.

“Ironinya, sepanjang dua bulan tersebut, pengguna dibebankan dengan kenaikan harga tanpa kawalan kerajaan dan memungkinkan manipulasi harga di peringkat pengeluar, pengedar, pemborong atau peruncit,” katanya.

Sehubungan itu, Shafie berkata, kerajaan perlu melakukan siasatan kepada sebarang bentuk pakatan atau kartel dalam pasaran dan mencegah sebarang manipulasi dan kenaikan harga.

“Saya juga berpandangan agar sesiapa atau mana-mana pihak yang didapati mengawal ataupun memanipulasi harga-harga barangan keperluan asas ini boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 [Akta 712].

“Seksyen ini melarang sebarang bentuk pakatan yang bersifat anti-persaingan. Pemakaian undang-undang persaingan juga boleh menstabilkan harga pasaran dan telah digunakan oleh kebanyakan negara, terutamanya ketika negara teruk terjejas disebabkan wabak Covid-19,” katanya.

Harga ayam dilaporkan meningkat 30 peratus dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan secara tidak langsung melebihi harga RM10 sekilogram.

Menurut Anggota Parlimen Semporna itu, mungkin disebabkan oleh kenaikan harga ayam, kerajaan telah menasihatkan pengguna untuk membeli sumber alternatif lain seperti ikan dan juga makanan laut dan ini pula menyaksikan harga ikan juga mengalami peningkatan ketara.

“Disebabkan hal ini juga, jualan ikan dan makanan laut dikatakan mengalami kemerosatan hampir 80 peratus.

“Memandangkan ayam dan ikan merupakan sumber makanan utama isi rumah kebanyakan rakyat Malaysia, peningkatan harga ini adalah membimbangkan.

“Tambahan pula, Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan Indeks Harga Pengguna (CPI) pada bulan Julai yang lalu adalah kurang memberangsangkan iaitu pada kadar mata 122.5, jatuh 0.6 peratus dari bulan sebelumnya,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS