Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tetapkan harga siling vaksin Covid-19 - klinik swasta

Kerajaan diminta menetapkan harga siling untuk penjualan vaksin Covid-19 yang dibekalkan melalui sektor swasta.

Gesaan itu dibuat susulan harga yang ditetapkan oleh sektor swasta bagi suntikan vaksin Covid-19 jenis Sinovac disifatkan sebagai “terlalu mahal” dan 'tidak mampu' diperoleh golongan berpendapatan rendah, termasuk warga asing.

"Kami menyambut baik keputusan kerajaan untuk menetapkan harga siling untuk pelitup muka dan kit ujian kendiri Covid-19. Tapi, penting juga untuk menetapkan harga siling kepada penjualan vaksin Covid-19 di sektor swasta.

"Ini kerana vaksin juga sama penting seperti penggunaan pelitup muka atau kit ujian kendiri Covid-19," kata pengasas Klinik SP Care Dr Sathia Prakash Nadarajan kepada Malaysiakini.

Menurutnya, Klinik SP Care merupakan salah satu daripada lima PPV di Lembah Klang yang dibenar melaksanakan program vaksinasi Covid-19 tanpa janji temu bermula 16 hingga 30 September.

Katanya, dia ditawarkan dua dos vaksin Sinovac dengan harga RM300, yang boleh dijual dengan harga RM360.

"Namun, kami menolak tawaran itu selepas berpendapat bahawa harganya terlalu mahal dan mustahil bagi warga asing dan golongan yang berpendapatan rendah.

"Maka, kami minta kerajaan agar segera menetapkan harga siling untuk penjualan vaksin oleh sektor swasta," katanya.

Khairy Jamaluddin, ketika menjadi menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) sebelum ini, berkata Sinovac akan dibekalkan melalui sektor swasta mulai Ogos.

Namun, tidak jelas siapakah golongan sasaran untuk pasaran swasta kerana warga Malaysia 12 tahun ke atas, termasuk warga asing, boleh mendapatkannya secara percuma.

Khairy pada 23 Julai berkata kerajaan telah menetapkan garis panduan harga dan penjualan siling untuk vaksin Sinovac Covid-19 oleh pihak swasta mulai Ogos.

Pada 27, Julai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan agar Putrajaya meletakkan harga minimum untuk jualan Sinovac kerana harganya "tinggi".

Sehingga kini tiada sebarang pengumuman rasmi mengenai harga siling bagi penjualan vaksin oleh pihak swasta.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan komen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS