Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RM9.5j bukan habuan untuk tugas mendakwa Anwar, kata saksi

Peguam kanan, Muhammad Shafee Abdullah, mendakwa wang bernilai RM9.5 juta yang diterimanya bukanlah sebagai imbuhan kerana bertindak sebagai pegawai pendakwa dalam rayuan kes liwat membabitkan Anwar Ibrahim.

Kenyataan itu dibuat dua anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Nasharudin Amir dan Zulfaqar Mohd Khalil yang masing-masing merupakan saksi keempat serta kelima pendakwaan berkata demikian dalam perbicaraan pengubahan wang haram membabitkan Shafee yang didakwa diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak.

Nasharudin memberi keterangan berdasarkan kepada pernyataan yang dirakam daripada Shafee di pejabat peguam terbabit di Kuala Lumpur pada 28 Julai 2017.

Zulfaqar pula memberikan keterangan lisan berdasarkan pernyataan Shafee yang dirakam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 11 Sept 2018.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui afidavitnya melaporkan Najib - ketika itu menjadi perdana menteri - membayar RM9.5 juta kepada Shafee antara 2013 dan 2014.

Anwar bergantung kepada afidavit dalam rayuannya yang sedang berlangsung di Mahkamah Rayuan untuk mengembalikan semula tindakan sivil bagi mencabar kesahihan perbicaraan kes liwat melibatkan pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Semasa perbicaraan pengubahan wang haram di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin hari ini, Nasharudin berkata Shafee memberitahu pegawai SPRM bahawa RM9.5 juta itu adalah untuk perkhidmatan undang-undang yang diberikan kepada Najib dan BN.

“Berdasarkan jawapan yang diberikan Tan Sri Muhammad Shafee bin Md Abdullah dalam pernyataan yang dirakamkan, kedua-dua cek berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang diberikan oleh Datuk Seri Najib adalah pembayaran untuk nasihat undang-undang yang diberikan Tan Sri Muhammad Shafee Md Abdullah kepada Dato Sri Najib, parti dan perdana menteri sebelumnya.

"Tan Sri Muhammad Shafee Md Abdullah juga menjelaskan bahawa dua cek yang diterima daripada Datuk Seri Najib tidak ada kaitan dengan kes rayuan sodomi kedua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tan Sri Muhammad Shafee bin Md Abdullah memberitahu saya bahawa wang yang diterima telah digunakan untuk membeli sebuah rumah di Bukit Tunku dengan harga RM9.5 juta," kata Nasharudin.

Dia yang kini bertugas di bahagian siasatan Ibu Pejabat SPRM berkata Shafee juga mendakwa dia tidak mengetahui dari mana wang RM9.5 juta itu dan tidak bertanya mengenainya.

Menurut Nasharudin Shafee menjelaskan hal itu kerana wang berkenaan diberikan Najib untuk pembayaran perkhidmatan guaman yang diberikannya.

Nasharudin juga memberitahu pernyataan yang dirakam daripada Shafee pada masa itu adalah sebagai saksi terakhir dan bukan suspek dalam siasatan kes dana RM2.6 bilion 1MDB yang dikaitkan dengan Najib.

Sementara itu Zulfaqar mengesahkan Shafee membuat dakwaan yang sama ketika pernyataannya dirakam kemudian di ibu pejabat agensi antirasuah tersebut.

Zulfaqar yang kini bertugas di bahagian komunikasi strategik SPRM memberitahu Shafee mengulangi kenyataan bahawa RM9.5 juta itu adalah untuk perkhidmatan guaman yang diberikannya kepada BN untuk petisyen pilihan raya antara 2004 dan 2006.

Katanya ketika dia menunjukkan kepada Shafee salinan surat pelantikan sebagai timbalan pendakwa raya bertarikh 22 Mei 2014, dia mengesahkan Peguam Negara Abdul Gani Patail melantik Shafee menjadi timbalan pendakwa raya dalam rayuan kes liwat Anwar.

"Dia (Shafee) juga mengatakan RM9.5 juta itu tidak ada kaitan dengan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim (dalam kes liwat itu)," kata Zulfaqar.

Saksi terbabit turut memberitahu mahkamah Shafee memaklumkan dia menggunakan wang RM9.3 juta dari cek untuk membeli hartanah dan banglo tiga tingkat.

Perbicaraan akan disambung jam 9 pagi esok.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS