Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki pandu lawan arus didakwa bunuh dua remaja
Diterbitkan:  Sep 20, 2021 1:52 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Seorang pegawai pemasaran syarikat swasta yang memandu secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian dua remaja didakwa di Mahkamah Majistret di Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan membunuh.

K Devaaswin, 24, didakwa membunuh Nur Afiqah Abdul Karim, 18, dan Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, di Kilometer (KM) 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur, di Shah Alam pada 1.20 pagi, 12 Sept lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Majistret Nur Faizah Abdul Sani menetapkan 21 Okt untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar manakala Devaaswin diwakili peguam Pushpa Ratnam dan R Thanuja.

Media sebelum ini melaporkan dua remaja maut selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki secara melawan arus di Lebuhraya Persekutuan dekat Shah Alam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS